SHAH ALAM – Pelbagai pihak boleh mengutarakan pandangan, analisa dan kajian namun ketepatannya sering kali tersasar, kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Beliau, yang meragui ketepatan kajian dan analisis, mempersoalkan metodologi yang diguna pakai pihak berkenaan dalam membuat kajian terbabit.

Katanya, setiap kaji selidik atau analisa dilakukan seharusnya ikut garis panduan standard tanpa memihak sesiapa.

Beliau berkata demikian mengulas kaji selidik ahli akademik dari Majlis Profesor Negara (MPN), bahawa Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) serta berpeluang kembali menawan Selangor dan Kedah, kelmarin.

Nurul Izzah berkata, dengan media arus perdana dikuasai dan berpihak kepada BN, pastinya banyak pihak meramalkan landskap politik kekal milik BN pada PRU13.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menyelar kajian itu dan menyifatkannya sebagai tidak tepat dan tidak menggambarkan pandangan keseluruhannya.

Katanya, kajian itu hanya untuk meyakinkan rakyat bahawa ramai yang memberi sokongan terhadap BN, sedangkan perkara sama juga berlaku terhadap Pakatan.