PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melancarkan 1Malaysia Komuniti Perwani yang akan mewujudkan 100,000 kumpulan wanita di seluruh negara yang akan bertindak sebagai ejen transformasi komuniti.

Najib yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, inisiatif baru itu akan mewujudkan kumpulan Perwani dengan setiap kumpulan terdiri daripada 10 hingga 20 orang.

“Sebagai penggerak pelbagai aktiviti, 1Malaysia Komuniti Perwani boleh mempromosikan penjagaan kesihatan,  kebajikan keluarga, kemahiran, keusahawanan dan tuisyen.

“Mereka juga boleh menjadi mata dan telinga kerajaan dalam memerangi jenayah dan ancaman keselamatan negara,” katanya semasa berucap melancarkan program itu sempena perhimpunan 1 Juta Wanita atau “1Million Women Purple Walk” 2013 di sini, semalam.

1Malaysia Komuniti Perwani terdiri daripada persatuan penduduk, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Badan kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ibu tunggal dan wanita.

Ia merupakan satu inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan untuk mempromosikan kesejahteraan masyarakat dengan menggerakkan pelbagai aktiviti yang bakal memberi faedah kepada anggota masyarakat setempat.

1Malaysia Komuniti Perwani akan bertindak sebagai penghubung masyarakat dengan pihak berkuasa bagi melaporkan atau memberi maklum balas berhubung sebarang prasarana atau kemudahan awam yang memerlukan perhatian atau penambahbaikan.

Pada majlis yang sama, Najib juga melancarkan program “Purplelicious Mobile Cafe” yang merupakan projek terbaru Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi membantu golongan ibu tunggal menjana pendapatan.

Projek perintis itu melibatkan seramai sembilan orang ibu tunggal daripada pelbagai bangsa. Hidangan yang disediakan merupakan resipi istimewa Chef Jo, juri rancangan Master Chef Malaysia yang bertindak selaku mentor kepada para peserta.

 Program “Purplelicious Mobile Café”  memperkenalkan konsep jualan makanan dan minuman secara bergerak dan antara hidangan istimewa adalah ‘submarine sandwich, pasta dan minuman ice blended’.

Pada peringkat awal, ibu tunggal terbabit akan mengendalikan jualan menerusi dua buah trak makanan khas di lokasi terpilih di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya. -Bernama