ALOR SETAR - Persatuan Pesara-Pesara Kerajaan Malaysia Negeri Kedah meminta kerajaan persekutuan menimbangkan penyelarasan pencen penjawat awam dan pencen penuh dibayar kepada pesara yang berkhidmat kurang 25 tahun.
Presidennya Datuk Harun Hashim berkata adalah wajar kerajaan membuat keputusan segera kerana permintaan itu dibuat lima tahun lepas dan banyak perubahan telah berlaku dalam perkhidmatan awam.
Katanya pesara awam termasuk polis dalam persatuan itu berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana memenuhi tuntutan antaranya memanjangkan pencen terbitan kepada balu atau duda yang berkahwin lain berkuatkuasa 1 Januari tahun ini.
"Bagaimanapun tuntutan agar penyelarasan pencen dan pemberian pencen penuh difahamkan masih dalam peringkat kajian, namun masa yang diambil adalah terlalu lama.
"Perbezaan pencen yang bersara 20 tahun lepas dan yang bersara sekarang dalam gred sama adalah terlalu ketara walaupun telah 11 kali pelarasan dibuat namun terlalu kecil," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurut Harun, jika kerajaan boleh melaksanakan penyelarasan pencen kepada anggota tentera yang berkhidmat kurang 21 tahun, yang diberi pencen penuh, mengapa tidak mengambil kira sama sektor awam.
Katanya kos sara hidup meningkat berkali ganda dalam tempoh 20 tahun ini menyebabkan ramai pesara perkhidmatan awam dalam kategori rendah yang menerima pencen kurang RM3,000 sebulan berada dalam paras kemiskinan.
"Permintaan ini tidak keterlaluan. Kami yakin ia boleh dilaksanakan. Implikasi kewangan tidak mungkin menjejaskan bajet kerajaan," tambahnya.
Mengenai persatuan, beliau berkata pihaknya berusaha menarik kira-kira 28,000 orang lagi pesara kerajaan menganggotai persatuan yang kini baru dianggotai 2,000 orang.
Persatuan boleh dilawati di laman web www.geocities.com/pesarakedah dan e-mail pesara_kedah@yahoo.com. - Bernama
Persatuan Pesara Kedah minta selaraskan pencen
Tarikh: June 20, 2012
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.