KUALA LUMPUR - Nama pengerusi dan ahli-ahli yang bakal menganggotai Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung masalah pendatang tanpa izin di Sabah akan diumum tidak lama lagi, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

"Pada masa sekarang, kerajaan hanya menunggu masa yang sesuai untuk membuat pengumuman kerana hanya Yang di-Pertuan Agong boleh membuat lantikan itu," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Paul Kong Sing Chu mengenai perkara itu pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Awal Jun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Kabinet bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menangani masalah berkaitan pendatang tanpa izin di Sabah.

Liew berkata anggota surunhajaya itu akan dipilih di kalangan mereka yang berpengalaman luas dan mempunyai kefahaman mendalam berhubung isu pendatang tanpa izin di Sabah.

Terma rujukan Suruhanjaya Siasatan Diraja itu kini berada di peringkat akhir penggubalan untuk memastikan terma yang ditetapkan itu adalah menyeluruh supaya masalah pendatang tanpa izin di Sabah ini dapat diselesaikan secara komprehensif, katanya.  - Bernama