SERDANG - Pelbagai usaha dan kajian telah dilaksanakan dalam usaha membangunkan produk berasaskan sarang burung walit.

Timbalan Menteri Pertanian Asas Tani II, Datuk Nogeh Gumbek berkata, pada tahun lalu, kira-kira 350 tan metrik sarang burung walit dieksport ke luar negara, melibatkan nilai RM89 bilion.

Menurutnya, Malaysia adalah antara pengeluar sarang burung walit terbesar dunia.

“Dengan pengeluaran sarang burung walit tahunan antara 350 hingga 400 tan metrik setahun, Malaysia berupaya mengeluarkan pelbagai produk berasaskan sarang burung walit.

"Ia termasuk sarang burung walit mentah belum bersih, sarang burung walit mentah bersih dan produk tambah nilai (downstream products),” katanya.

Beliau berkata, antara 2010 hingga 2016, Malaysia telah mengeksport produk sarang burung walit ke 22 negara.

“Sehingga Oktober 2016, sebanyak 267 tan metrik produk sarang burung walit telah dieksport ke 12 negara,” katanya ketika melancarkan produk berasaskan burung walit di Laman Ternakan bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2016 (MAHA 2016), semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, pengeluaran produk tambah nilai masih kecil iaitu kurang daripada 10 peratus daripada jumlah dieksport.

Justeru katanya, penghasilan produk berkualiti yang sebahagian besarnya dari loji pemprosesan yang mengamalkan amalan pengeluaran yang baik (GMP), ia dijangka memberi impak besar kepada industri sarang burung walit negara.

Beliau berharap pelancaran produk itu dapat memberi gambaran terhadap kebaikan penggunaan produk sarang burung walit kepada orang ramai, seterusnya memperkembangkan dan memperkukuhkan pasaran produk sarang burung walit ke seluruh dunia.

Sementara itu, sempena MAHA 2016, pelbagai produk berasaskan sarang burung walit dipamerkan sebagai usaha mempromosikan produk berasaskan sarang burung walit keluaran usahawan dalam industri walit Malaysia.

Pelbagai produk dalam bentuk makanan kesihatan, kosmetik, ubatan atau makanan dan minuman segera yang mudah diambil akan dipamerkan daripada lebih 50 usahawan walit Malaysia.

Selain pameran dan jualan, pengunjung diberi peluang menguji rasa sup sarang burung walit yang disediakan Chef Razak Abdullah.