SEPANG - Penerbangan haji pertama Malaysia Airlines (MAS) berlepas 1.05 tengah hari ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini ke Madinah, Arab Saudi dengan 447 jemaah.
   
Penerbangan melalui pesawat MH8000 itu dijangka sampai di Madinah, pukul 5 petang waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia).
   
Kesemua jemaah haji tersebut yang tiba dari Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, kira-kira jam 12 tengah hari, turut diberi taklimat ringkas, sebelum berlepas dengan pesawat Boeing 747-400.
   
Ketua Jabatan Haji dan Sewa Khas MAS Hisham Haron berkata MAS mengendalikan 33 penerbangan haji di seluruh negara menuju ke Jeddah dan Madinah mulai hari ini hingga 19 Oktober nanti, yang membabitkan 14,000 jemaah.
   
Daripada jumlah itu, 17 penerbangan adalah dari KLIA, lima masing-masing dari Pulau Pinang dan Johor Baharu, dan dua masing-masing dari Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.
   
"Ciri penerbangan ini dibuat khas untuk memberi keselesaan kepada jemaah haji di mana kita turut memaparkan panduan ibadat haji dan umrah, selain bacaan ayat suci al-Quran dan nasyid.
   
"Menu dalam pesawat juga adalah menu khas yang dipilih oleh pihak Tabung Haji. Minuman juga dihidangkan berterusan bagi mengelakkan jemaah haji berasa dahaga sepanjang perjalanan," katanya kepada pemberita sebelum penerbangan itu berlepas.
   
Hisham berkata selain petugas yang secukupnya di lapangan-lapangan terbang yang terlibat, MAS turut menyediakan 20 petugas berpengalaman untuk membantu melicinkan urusan penghantaran jemaah haji itu di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, dan 12 lagi di Jeddah dan Madinah untuk fasa pertama dan 41 untuk fasa kedua.
   
Fasa kedua, iaitu pesawat yang membawa pulang jemaah dari Arab Saudi dijadual pada 1-29 November nanti, juga melalui 33 penerbangan,  katanya.
   
Sementara itu seorang daripada jemaah yang berlepas hari ini, Murni Mohd Johari, 69, teruja untuk menunaikan ibadah haji buat kali kedua selepas menunaikannya kali pertama pada tahun 90-an, walaupun keadaan kesihatannya tidak begitu baik.
 
Murni yang berkerusi roda semasa ditemui berkata beliau menunggu selama tujuh tahun untuk sekali lagi menunaikan rukun Islam kelima itu, dan tidak menyangka diberi peluang sekali lagi.
   
"Makcik menghidap kencing manis, jadi mudah penat. Tapi di sana makcik yakin dapat menunaikan ibadah ini dengan lengkap,"  katanya.
   
Seorang lagi jemaah, Syafee Ismail, 18, berkata beliau tidak menyangka dan amat bersyukur kerana diberi peluang menunaikan haji pada usia muda.
  
Pelajar Politeknik Shah Alam dalam jurusan Kejuruteraan Elektronik Perubatan itu berkata beliau sedar bukan mudah untuk terpilih sebagai tetamu Allah, justeru begitu teruja untuk menunaikan ibadah itu.
   
"Saya ingin mendoakan kedua ibu bapa saya masuk syurga, juga untuk seluruh keluarga dan kawan-kawan agar berjaya dalam hidup," katanya yang ditemani ibunya Rosnah Abu Bakar. - Bernama