SHAH ALAM – Pas hari ini menyanggah laporan sebuah portal berita tempatan yang mendakwa parti itu menyokong penubuhan Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (Pota) 2015.

Setiausaha Politik Presiden Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah bersetuju dengan kelulusan rang undang-undang tersebut, sebaliknya hanya menyatakan sokongan ke atas usaha kerajaan dalam membasmi keganasan di negara ini.

Beliau turut menyifatkan berlaku salah faham antara pihak pemberita dengan kenyataan yang dibuat Abdul Hadi pada sidang media berkenaan.

“Pejabat Presiden Pas ingin menyatakan bahawa berita yang disebarkan oleh sebuah portal berita adalah tidak benar dengan kenyataan sebenar Presiden Pas (Abdul Hadi).

“Tajuk berita portal tersebut adalah ‘Pas Sokong Usaha Kerajaan Cegah Keganasan Melalui Pota” adalah jauh sekali daripada intipati ucapan sebenar Presiden. Dalam sidang media yang menjadi sumber berita tersebut, Presiden Pas menyatakan bersetuju menentang keganasan kerana pada  dasarnya itulah yang disebut dalam Islam namun usaha tersebut yang direalisasikan menerusi penubuhan rang undang-undang Pota ditentang oleh Pas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pota diluluskan tanpa pindaan di Dewan Rakyat pada 2.25 pagi pada 7 April lalu selepas dibahaskan lebih 12 jam.

Pota diluluskan selepas undian belah bahagian kesembilan dilakukan dengan undian terakhir memihak kepada kerajaan dengan kiraan 79 bersetuju dan 60 tidak bersetuju (untuk meluluskan).

Sebuah portal semalam melaporkan sambutan dan sokongan Pas terhadap usaha kerajaan dalam menangani keganasan menerusi sidang Dewan Rakyat.

Memetik laporan portal tersebut, Abdul Hadi dipetik sebagai berkata, meskipun terdapat beberapa perkara teknikal yang parti tidak bersependapat dengan kerajaan, namun Pas tidak menafikan akan keperluan undang-undang berkenaan bagi mempertahankan kedaulatan dan maruah negara.

Sehubungan dengan itu, Ahmad Samsuri menasihat orang ramai supaya mengikuti rakaman sebenar sidang media tersebut bagi mendapatkan pengesahan.

“Dasar untuk menghalang keganasan adalah bertujuan untuk mengelakkan fenomena Islamophobia terus dijaja dalam dunia Islam. Walaupun begitu, Pas tidak bersetuju dengan kerajaan dalam sudut teknikal undang undang yang telah dibahaskan panjang lebar sebelum ini.

“Dengan penjelasan ini, Pejabat Presiden Pas berharap, berita palsu dan salah laporan ini tidak lagi mengelirukan penyokong dan pendokong Pas seluruh negara. Rakaman sebenar sidang media Presiden Pas boleh dilihat dan telah disebarkan ke dalam media maya untuk pengesahan sendiri yang lebih lanjut,” katanya lagi.