KUALA LUMPUR - Polis telah menyerahkan notis merah kepada Polis Antarabangsa (Interpol) sebagai tindakan terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang kini dilaporkan berada di United Kingdom.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

“Kita dah buat notis merah kepada Interpol. Segala tindakan penuh kita akan ambil sekiranya dia (Musa) pulang nanti.

“Tindakan sewajarnya akan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang negara,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penganugerahan  Kontinjen dan Daerah Terbaik Ops Selamat 13/2018 Hari Raya Aidilfitri, di Bukit Aman, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman,  Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor. Musa dalam satu kenyataannya sebelum ini berkata, kini beliau berada di United Kingdom  atas sebab perubatan dan urusan peribadi, sekali gus menafikan dakwaan bahawa dirinya menjadi pelarian selepas laporan intimidasi jenayah terhadapnya oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Musa mengesahkan beliau meninggalkan Malaysia secara sah pada 16 Mei.

Susulan pemergian beliau itu, Musa telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Yang di-Pertua Negeri  dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal atas penyingkirannya tanpa bersandarkan berperlembagaan sebagai ketua menteri.

Dalam perkembangan lain, polis mengesahkan bahawa Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos masih belum ditangkap.

Mohamad Fuzi berkata, beliau telah semak dengan Polis Indonesia berhubung dakwaan mengatakan kononnya Jamal berada di Riau dan Batam, Indonesia.

“Saya dah semak perkara itu dengan pihak Indonesia, jadi mereka telah maklumkan setakat ini belum lagi ada tangkapan sedemikian walaupun mereka bantu kita sepenuhnya dalam memastikan di mana Jamal ini berada,” katanya.