ALOR SETAR – “Itu fitnah! Saya tak maksudkan ‘Malaysian Official One’ adalah Yang di-Pertuan Agong (Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah),” demikian kata Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad.

 Beliau berkata, MO1 yang dimaksudkan adalah ‘Malaysian Official Number One’ berdasarkan soalan oleh kenalan Facebooknya bernama Allan Mor yang bertanyakan siapakah MO1 dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

 “Saya punya pemerhatian kepada soalannya ialah siapakah MO1 dalam laporan PAC. Apabila kita lihat dalam PAC, tidak ada satu perkataan pun tentang MO1. Tak ada tulis dalam laporan PAC yang dikeluarkan pada bulan Mac, di Parlimen kepada umum.

“Pemahaman saya tentang siapakah MO1 itu mengikut Perlembagaan negara, tidak ada kaitan dengan DOJ Amerika Syarikat,” katanya kepada media, semalam.

 Menurutnya, ‘Malaysian Official Number One’ yang dimaksudkan adalah orang yang paling besar sekali dalam negara yang menjadi ketua kepada kerajaan yang memerintah.

“Kalau mengikut Perlembagaan, kita ada tiga badan iaitu perundangan yang diketuai oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat; kedua kita ada kehakiman yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara dan ketiga ialah eksekutif yang diketuai oleh Perdana Menteri dan Kabinetnya.

 “Oleh kerana ketiga-tiga ini merupakan badan kerajaan, mereka ini bertanggungjawab kepada ketua mereka yang nombor satu iaitu Yang di-Pertuan Agong, mengikut Perkara 32 dalam Perlembagaan adalah ketua utama negara. Jadi ketua utama negara dalam kes ini ialah ‘Malaysian Official Number One’,” katanya.

 Beliau yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Langkawi berharap penjelasan disampaikan difahami semua termasuk pihak yang cuba gunakan isu itu untuk mengheretnya seolah-olah bersalah dan menghina Agong.

 “Sebenarnya tidak ada dalam hati saya, saya hormat Tuanku Sultan. Tuanku Sultan juga pernah pergi Langkawi, kita sembah dan cium tangan kerana kita tahu baginda Agong yang kita hormati. Adakah patut saya kaitkannya dengan DOJ itu, tidak ada dalam hujah itu.

Mengulas mengenai desakan pihak pembangkang untuk beliau memohon maaf kepada rakyat di negara ini, beliau menegaskan untuk tidak berbuat demikian.

“Kalau nak mohon maaf, saya mestilah bersalah. Tapi dalam kes ini saya tidak bersalah, saya nak mohon maaf buat apa.

 “Tapi kalau kepada Tuanku, saya salah atau tidak tapi kalau dipanggil, saya menghadap dan memohon maaf. Kerana Tuanku saya letakkan nombor satu. Tapi saya harap perkara itu tidak berlaku,” katanya.

 Ditanya sama ada beliau menerima sebarang surat daripada Pejabat Sultan Kedah untuk diberikan penjelasan mengenai perkara itu, beliau mengesahkan belum menerimanya.

 “Tak ada... saya ingat pihak Istana pun tidak salah faham tentang kenyataan saya. Sekiranya ada, saya sanggup untuk memohon ampun daripada Tuanku kerana saya tidak berniat untuk memaksudkan Tuanku dalam sistem DOJ ini. Saya hanya memperincikan Perlembagaan itu wujud sejak 1957,” katanya.

 Berikutan banyak laporan polis dibuat, Nawawi mengambil pendirian untuk membuat laporan di Balai Polis Hulu Kelang, Selangor bagi mempertahankan dirinya, semalam.