Nasional
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

Murtad: MB Selangor arah siasatan terperinci

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) diminta menjalankan siasatan mengenai dakwaan wujudnya usaha memurtadkan umat Islam di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid berkata, ini berikutan dakwaan bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) yang cuba mewujudkan ketidakstabilan terhadap masyarakat Islam dan bukan Islam khusus di Selangor.

Beliau yang juga Exco Agama Islam memberitahu bahawa kenyataan Hasan melibatkan tiga perkara iaitu kitab injil berkuasa solar, mubaligh Kristian berpakaian jubah memasuki masjid dan minum serta mandi air suci.

Namun tegas beliau, yang jelas dakwaan itu tidak disertakan dengan bukti kukuh tetapi telah mula mewujudkan rasa tidak selesa di kalangan masyarakat majmuk.

“Dakwaaan ini juga tidak konstruktif kerana ianya semata-mata mahu melemahkan peranan Mais dan Jais, akhirnya memberi kesan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku ketua agama Islam yang berusaha bersungguh-sungguh memartabatkan agama Islam,” katanya.

“Amat penting untuk Jais dan Mais menjalankan siasatan terperinci ke atas dakwaaan ini dan bertindak untuk keadilan semua pihak. Kerajaan Negeri juga akan berbincang dengan Mais dan Jais jika dakwaan tanpa bukti ini boleh dibiarkan berterusan,” katanya.

Abdul Khalid berkata, selama ini pihaknya tidak menyekat mana-mana individu atau NGO dari bersuara tentang perkara ini walaupun ianya tidak selari dengan pendirian Kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

Malah katanya, mereka dibenarkan mengguna premis milik Kerajaan Negeri atau anak syarikat untuk kegiatan ceramah mereka.

“Walaupun Kerajaan Negeri mengambil sikap terbuka, kita tidak akan menyokong penggunaan premis kita untuk sebarang aktiviti yang boleh memecah-belahkan masyarakat.

“Jika dakwaan yang dibuat boleh menimbulkan ketegangan, maka kita perlu fikirkan tindakan sesuai untuk menegakkan keadilan dan kebenaran untuk semua,” katanya.

Awal Januari lalu, Hasan dilaporkan berkata, Jais mempunyai bukti sejenis radio rakaman menggunakan tenaga solar yang dimuatkan dengan cerita-cerita Kristian atau disebut ‘Solar Powered Handheld Talking Bible’ yang didakwa digunakan untuk mermutadkan umat Islam.

Malah ketika berucap pada program Himpunan Sejuta Umat (Himpun) di Perak tahun lalu, Hasan turut mendakwa usaha memurtadkan umat Islam di negara ini semakin licik apabila ada kalangan mubaligh Kristian memakai jubah dan menunaikan solat Zuhur berjemaah dengan penduduk Islam bagi mendekati mereka yang dipercayai berpotensi untuk digugat akidahnya.

Semalam, beliau berkata akan mendedahkan rakaman video satu pasangan yang telah murtad.


Syarat & Penafian | Pengiklanan | Hubungi Kami
Resolusi terbaik pada 1024 x 768
©2012 | Hakcipta Terpelihara Grup Digital Karangkraf