SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menjangkakan gaji minimum, yang kadarnya diumumkan kelmarin, hanya akan dapat dilaksanakan awal Januari 2013 - mengambil kira tempoh enam bulan bakal diberikan oleh kerajaan kepada para majikan.

Pengarah Eksektutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata, mengambil kira pelbagai faktor termasuk kesediaan pihak majikan, pihaknya menjangkakan bahawa paling cepat gaji minimum hanya dapat dilaksanakan Januari depan.

"Paling cepat pun bulan Januari 2013, baru kita boleh melaksanakan sistem gaji minimum, dengan mengambil kira urusan Perintah Gaji Minimum diwartakan, urusan di peringkat setiap majikan dalam membuat persiapan termasuk soal memberi kenaikan dan pelarasan gaji dan sebagainya.

"Kita memerlukan masa untuk membuat persiapan, majikan memerlukan masa untuk membuat persediaan ke arah itu," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Ketika ditanya ada kemungkinan sesetengah majikan akan melaksanakan gaji minimum lebih awal jika perintah berkaitan diwartakan dalam waktu terdekat, Shamsuddin berkata, beliau tidak menjangkakan begitu.

"Saya tidak lihat akan ada majikan mahu melaksanakan lebih awal. Lazimnya majikan akan mengambil masa dan menunggu satu tempoh pelaksanaan yang sesuai," katanya lagi.

Mengikut pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin, kadar gaji minimum bagi Semenanjung Malaysia ditetapkan RM900 sebulan atau RM4.33 sejam manakala bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula RM800 sebulan atau RM3.85 sejam.

Gaji minimum akan meliputi pekerja dalam semua sektor ekonomi di seluruh negara, kecuali perkhidmatan domestik, yakni pembantu rumah, tukang kebun dan sebagainya.

Najib berkata, tarikh mula kuat kuasa pelaksanaan gaji minimum ialah enam bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut menyediakan mekanisme pelaksanaan supaya penetapan gaji minimum itu tidak membebankan majikan dan tidak merugikan para pekerja dengan membenarkan penyerapan sebahagian elaun atau bayaran tunai tetap dalam perkiraan gaji minimum.

Bagaimanapun, katanya untuk memberi ruang dan peluang kepada majikan kecil membuat persediaan, tempoh kuat kuasa bagi kategori itu ialah 12 bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan.

Perdana Menteri berkata pengecualian 12 bulan itu tidak meliputi kepada firma profesional seperti klinik-klinik pergigian dan perubatan; firma guaman; firma arkitek; firma juru perunding dan sebagainya; walaupun mereka mempunyai bilangan pekerja lima atau kurang; mereka perlu mematuhi gaji minimum ini dalam masa enam bulan.

Katanya, pemberian tempoh masa yang mencukupi perlu bagi majikan dapat membuat persediaan secukupnya bagi menstrukturkan semula gaji pekerja dan operasi perniagaan masing-masing.

"Kerajaan juga menyediakan mekanisme pelaksanaan yang fleksibel supaya majikan yang benar-benar tidak dapat melaksanakan gaji minimum boleh memohon pelanjutan tempoh peralihan," kata Najib.