KUALA LUMPUR - Pergerakan Pengakap Malaysia telah  menerima kunjungan daripada Pegawai Eksekutif Pengakap di Ibu Pejabat Pengakap Negara United Kingdom, Matt Hyde, di sini, baru-baru ini.

Hyde hadir ke Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia sempena lawatan rasminya di ibu kota. Kehadirannya turut diiringi oleh  Setiausaha Agung, Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM), Ahmad Alhendawi.

Hyde berkata, beliau terkejut dengan pembangunan pesat yang terdapat di Malaysia dan terharu apabila mendapati pengakap yang ditubuhkan di negara beliau pada tahun 1908 oleh Lord Baden Powell masih lagi diteruskan kesinambungannya dan diguna pakai khususnya di Negara ini.

"Pengakap satu-satunya badan beruniform yang melatih seawal usia muda dari kanak-kanak berumur 10 tahun hingga ke dewasa.

"Pengakap mengajar erti apa itu berbuat baik kepada orang lain, menolong orang pada setiap masa. Pengakap juga boleh menyatupadukan rakyat dari berbilang bangsa tanpa mengira darjat bangsa agama dan keturunan dan negara akan hidup aman makmur serta harmoni,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pengakap Malaysia, Tan Sri Dr Shafie Mohd Salleh, Pesuruhjaya Antarabangsa PPM, Dr Mohammed Mukhyuddin  Sarkawi dan beberapa pegawai yang lain.

Sementara itu, Mohammed Mukhyuddin berkata, perkara paling susah untuk dilakukan dalam pembentukan masyarakat yang harmoni dan berbilang bangsa, agama ialah mengubah sikap dan tanggapan negatif masyarakat tentang sesuatu perkara tertentu.

"Tetapi pergerakan pengakap boleh melakukannya dalam berbagai cara dan aktiviti dan berjaya melakukannya kepada anak-anak muda," katanya.