LAHAD DATU - Lima jawatan utama menerajui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang membabitkan tiga elemen utamanya iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Awam.
    
Berkuat kuasa semalam, jawatan Pengarah untuk menerajui ESSCOM dinaikkan kepada Ketua Pengarah dengan dibantu empat Pengarah yang mengetuai empat bahagian.
    
Ketua Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek berkata perubahan dibuat pada mesyuarat jawatankuasa penyelarasan ESSCOM semalam yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Datuk Dr Ali Hamsa.
    
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Keperluan Perjawatan dan Organisasi ESSCOM di Markas Operasi Polis Marin di sini hari ini, Mohammad berkata empat jawatan pengarah diwujudkan membabitkan Bahagian Pertahanan; Keselamatan dan Ketenteraman Awam (KDKA); Awam; dan Risikan Bersama.
    
Beliau berkata bahagian KDKA dan Risikan Bersama masing-masing akan diketuai pegawai kanan dari PDRM manakala Pertahanan oleh ATM dan Awam diketuai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).
   
"Nama pegawai kanan polis dan ATM untuk menerajui tiga daripada bahagian telah dikenal pasti manakala nama PTD untuk bahagian awam akan dikenal pasti dalam masa terdekat ini," katanya.
    
Hadir sama pada mesyuarat itu Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib, Pengarah Pengurusan Markas Pemerintah Latihan dan Doktrin Tentera Darat Brig Jen Datuk Abdul Halim Abdul Jalal, Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Laksamana Muda Datuk Puzi Ab Kahar dan Pengarah Majlis Keselamatan Dalam Negara Negeri Sabah Rodzi Md Saad.
    
Sebelum mesyuarat, satu majlis bacaan Yasin dan doa selamat diadakan di bilik mesyuarat markas operasi itu, bersebelahan lima kabin sementara yang dijadikan pejabat ESSCOM.
    
Mohammad berkata sekitar 30 hingga 40 perjawatan akan diwujudkan di bawah organisasi ESSCOM melibatkan elemen ATM, PDRM dan Awam.
    
Bilangan perjawatan untuk peringkat awal penubuhan ESSCOM telah dikenali pasti dan selepas ini akan diperinci sebelum dikemuka kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) awal minggu depan, katanya.
    
Sehubungan itu, beliau berkata PDRM dan ATM diminta mengenal pasti calon sesuai untuk ditempatkan di struktur organisasi ESSCOM.
    
Mohammad berkata keperluan tambahan perjawatan akan dikaji dari semasa ke semasa.
   
Mengenai tumpuan ESSCOM selepas perjawatan, beliau berkata bengkel akan diadakan bagi membolehkan semua anggota organisasi berbincang dan mengemukakan formula polisi serta pelan strategik dengan keutamaan diberi kepada aspek keselamatan.
    
Pembentukan ESSCOM diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac lepas merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu, untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur Sabah. - Bernama