BESUT - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersedia membantu kerajaan negeri Terengganu memulihkan Taman Ilmu di Tembila, Besut agar dapat dimanfaatkan oleh warga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Menteri berkenaan Datuk Seri Idris Jusoh berkata kementerian telah mengarahkan Ketiau Setiausahanya Tan Sri Dr Noorul Ainur Md Nur untuk meninjau taman itu baru-baru ini bagi melihat potensi dan aspek yang boleh diketengahkan.

Taman Ilmu yang telah dibangunkan di bawah Projek Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di kawasan seluas 280 hektar dengan kos kira-kira RM300 juta itu telah dibina mulai tahun 2004.

Bagaimanapun, projek tersebut terbengkalai setelah beberapa tahun dibina dan pada 2012 projek pembinaannya disambung semula dengan menyediakan kelengkapan asrama, kompleks pusat pelajar, dewan konvokesyen dan kompleks sukan serta mini stadium.

Beliau berkata pelbagai perancangan dibuat bagi membuka peluang kepada 1,300 pelajar UniSZA Kampus Tembila memanfaatkan beberapa fasiliti di situ ekoran kedudukan Taman Ilmu yang bersebelahan dengan universiti berkenaan.

"Oleh itu kita (KPT) nak tinjau sendiri status Taman Ilmu itu sekarang agar ianya boleh dimanfaatkan untuk UniSZA," katanya.

Dalam perkembangan lain, Idris turut memberitahu tiga buah universiti yang terdapat di Terengganu dan Kelantan iaitu UniSZA, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan dibantu bagi meningkatkan pencapaian bidang pengkhususan masing-masing.

Katanya, UniSZA dikhususkan dalam bidang agama dan ilmu, UMT dalam bidang oceanografi dan persekitaran manakala UMK bidang keusahawanan mengikut kelompok universiti komprehensif.

"KPT menjangkakan ketiga-tiga universiti ini akan mampu mempertingkatkan bidang penyelidikan masing-masing dan akan tersenarai dalam ranking terbaik di masa depan," katanya. – Bernama