SHAH ALAM – Suara Guru-Masyarakat Malaysia (SGMM) memohon agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengadakan mesyuarat khas mencari jalan penyelesaian bagi masalah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS).

Ketua Jawatankuasa Bertindak, Mohd Nor Izzat Mohd Johari menyuarakan perkara itu melalui surat rasmi yang dihantar kepada Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertarikh hari ini.

“Saya mohon Tan Sri Muhyiddin bersama Menteri II, Timbalan Menteri I dan II, Ketua Pengarah KPM dan Bahagian Kurikulum KPM untuk menjemput SGMM mengadakan mesyuarat khas mencari jalan penyelesaian bagi masalah PBS dan SPPBS.

“Semua sedia maklum bahawa masalah PBS dan SPPBS semakin meruncing dan mendatangkan masalah kepada semua guru, murid-murid dan ibu bapa dalam meneruskan sistem yang dianggap menjadikan murid sebagai tikus makmal,” katanya yang dipetik dari surat berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berharap Muhyiddin memberi peluang kepada para guru untuk memberi cadangan secara terbuka.

Mohd Nor Izzat juga merupakan ‘admin’ bagi sebuah page laman sosial Facebook ‘Kami Mahu SPPBS Dimansuhkan’.

Sebelum ini, isu PBS dan SPPBS menarik perhatian apabila ramai guru yang mengadu terbeban dengan sistem tersebut ekoran pelbagai masalah termasuk sistem server yang terlalu lembap.

Terbaru, dalam rangka menambah baik sistem tersebut, capaian SPPBS akan ditangguhkan mulai hari ini sehingga 31 Disember dan akan dibuka semula mulai 1 Januari hingga 31 Januari depan.