GEORGETOWN - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak akan menyokong cadangan pemaju untuk menurunkan harga siling rumah di Pulau Pinang untuk warganegara asing.

Menteri berkenaan, Tan Sri Noh Omar berkata bagaimanapun setakat ini pihaknya belum menerima sebarang permohonan berhubung cadangan itu daripada kerajaan Pulau Pinang.

"Kalau nak kurangkan kepada RM800,000 bermakna kena minta kebenaran daripada KPKT kerana dalam akta perumahan, apabila harga dah berbeza kena dapat kebenaran daripada KPKT.

"Tapi kalau nak kurangkan harga jualan rumah kepada orang tempatan, itu saya sokong," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan geran tahunan bagi membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) Pulau Pinang membiayai belanja mengurus di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga berharap kerajaan negeri menghormati dasar yang dibuat kerajaan persekutuan iaitu hanya menjual rumah bernilai lebih RM1 juta kepada warga asing.

Semalam, Kerajaan Pulau Pinang memberitahu bahawa belum membuat keputusan muktamad berhubung permohonan pihak pemaju untuk menurunkan harga siling rumah di negeri ini untuk warganegara asing.

Exco Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo dilaporkan sebagai berkata pada masa ini harga siling bagi rumah berstrata ialah RM1 juta manakala bagi rumah bertanah adalah RM2 juta.

Sementara itu mengenai geran tahunan kepada PBT, sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk dua PBT negeri ini iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Selain geran tahunan itu, KPKT juga menyalurkan peruntukan lain kepada PBT iaitu Sumbangan Membantu Kadar, Peruntukan Pembangunan Projek Kecil Kerajaan dan Bantuan 50 Peratus bayaran bil elektrik PBT. - Bernama