KUALA LUMPUR - Institusi koperasi mesti diuruskan secara profesional sebagaimana dasar pembangunan yang dilaksanakan negara maju lain.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain menumpukan kepada peluang mencari perniagaan, penglibatan langsung profesional perlu dijadikan teras utama dalam membangunkan sesebuah koperasi.  

Menurutnya, institusi itu perlu mengorak langkah agar fungsinya bukan sekadar koperasi bahkan boleh dikenali sebagai entiti perniagaan yang lebih baik.  

“Kami mengharapkan agar suatu hari nanti koperasi boleh setanding syarikat yang berdiri teguh seperti syarikat Sdn Bhd, syarikat Berhad, dan lain-lain.

“Dari struktur pengurusan, pemasaran, dan pentadbirannya, biarlah lebih tersusun,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Koperasi Pekebun Kecil (KPK), 2017 dan Mesyuarat Agung Koperasi Pekebun Kecil Getah Nasional Bhd (Narsco) ke-33, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai Narsco, Ismail Sabri berkata, koperasi itu mengumumkan pembayaran dividen sebanyak lima peratus bersamaan RM80 dan RM160, kepada 64 koperasi meliputi keanggotaan seramai 146,955 orang.  

Narsco mencatatkan keuntungan bersih kumpulan bagi 2016, berjumlah RM19.6 juta, dan setakat ini koperasi di bawah Narsco mempunyai saham terkumpul mencecah RM48.3 juta.

Beliau berkata, prestasi kewangan telah meningkat pada tahun ini hasil kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), yang membantu koperasi pekebun kecil dalam aktiviti pemasaran, kontrak pembangunan ladang, pengangkutan serta jualan input pertanian sepanjang 2012 hingga 2017.

Katanya, Narsco adalah badan induk kepada koperasi pekebun kecil untuk merealisasikan hasrat Risda dalam mempergiatkan penglibatan di bidang pembangunan dan pemodenan pekebun kecil.  

"Ia sekali gus dapat meningkatkan taraf ekonomi mereka melalui pergerakan koperasi," katanya.

Pada majlis yang sama, Narsco juga menyempurnakan tiga memorandum persefahaman (MoU) bersama Kolej Pendidikan Agrosains Malaysia, SAS Plastic Industries Sdn Bhd dan Felcra Travel and Tour Sdn Bhd.

Kerjasama ini bertujuan untuk meluaskan sayap perniagaan koperasi Narsco Berhad yang tidak hanya tertumpu pada aktiviti perniagaan ladang sahaja.

Ismail Sabri turut menyampaikan anugerah kepada empat Koperasi Pekebun Kecil (KPK) yang disenarai oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai antara 100 koperasi terbaik di Malaysia.

Empat koperasi tersebut adalah KPK Gabungan Perak Berhad, KPK Batu Pahat Bhd, KPK Pekan dan KPK Larut Matang Bhd.