KLANG - Koperasi kredit disaran menceburi bidang perniagaan baharu yang berimpak tinggi seperti hartanah, perkhidmatan kesihatan dan teknologi maklumat agar dapat bertahan lama dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sektor kredit yang menyumbang 80 peratus daripada RM39.6 bilion perolehan koperasi pada tahun lepas dilihat tidak lagi mampu berkembang berikutan isu peningkatan kos sara diri selain saingan daripada institusi kewangan lain.

"Untuk koperasi kredit ini terus menjana pendapatan, ia perlu menceburi sektor lain yang berimpak tinggi dan kami bersedia menyalurkan bantuan khidmat nasihat, dana dan kepakaran jika diperlukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Koperasi Serbaguna Iman Malaysia Berhad, di sini, semalam.

Misalnya, katanya, koperasi kredit boleh menerokai sektor hartanah dengan bukan sahaja membina rumah malah boleh  menyediakan kemudahan pinjaman kepada ahli koperasi.

"Ini sekali gus bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan koperasi tetapi turut memberi peluang kepada anggota koperasi memiliki rumah dan hasil pendapatan koperasi ini kelak juga akan disalur kembali kepada anggota koperasi melalui dividen yang mereka terima setiap tahun," katanya. - Bernama