PUTRAJAYA - Penyediaan pelbagai jenis biasiswa dan bantuan kepada pelajar institusi pengajian tinggi adalah bukti kerajaan sememangnya melaksanakan konsep pendidikan percuma, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
  
Beliau berkata, untuk tahun ini sahaja, kerajaan memperuntuk sebanyak RM4.3 juta sebagai bantuan kepada 877 pelajar orang kelainan upaya (OKU) di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), sepenuh dan separuh masa yang meliputi  perbelanjaan dan wang saku tidak melebihi RM5,000 setahun atau RM20,000 sepanjang tempoh pengajian setiap seorang.
   
Katanya, kementerian turut menyediakan biasiswa sukan berjumlah RM10 juta bagi tahun ini untuk membiayai pengajian kira-kira 150 atlet cemerlang dalam bidang sukan masing-masing.
   
"Selain biasiswa yang disediakan di bawah kementerian, pelajar juga diberikan pembiayaan dan tajaan dari sumber lain seperti sesetengah universiti yang menyediakan Tabung Endowment termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di mana pelajar yang layak diberikan tempat secara percuma.
   
"Pelajar kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pula mendapat tajaan sepenuhnya daripada Kementerian Pertahanan yang meliputi kos pengajian, penginapan dan latihan ketenteraan, selain diberikan gaji tetap setiap bulan antara RM1,200-RM1,500  beserta bayaran imbuhan tetap dan elaun serta bonus tahunan," katanya pada majlis "Impianku Ke Menara Gading" di kementerian  itu sini, semalam.

Khaled berkata, pelajar lain juga boleh menikmati pendidikan percuma dengan syarat mereka perlu cemerlang, di  mana pelajar yang memperoleh ijazah kelas pertama dengan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh menukar pinjaman mereka kepada biasiswa.

"Ini adalah keputusan dan janji kerajaan bagi mendahulukan rakyat, mengiktiraf kecemerlangan dan menyanjung usaha gigih  mereka," katanya.
 
Sementara itu, Khaled berkata, memandangkan kaum perempuan masih lagi mendominasi kemasukan ke IPTA, usaha berterusan bagi menimbulkan minat dan menggalakkan pelajar lelaki untuk menyambung pengajian ke universiti perlu dilakukan.
   
Ini supaya proses pembangunan modal insan dalam negara dapat dilaksanakan secara saksama tanpa menyisihkan penyertaan mana-mana gender.
   
"Sama ada lelaki atau perempuan, ia mesti mampu menjadi modal insan senjata negara. Kalau kita hanya berjaya melahirkan pelajar perempuan sebagai modal insan tapi kita tak dapat lakukan untuk pelajar lelaki, maka kita tak dapat bangunkan secara maksimum kekuatan negara untuk berhadapan dengan cabaran," katanya.
   
Pada tahun ini seramai 25,372 atau 65.8 peratus pelajar perempuan berjaya menempatkan diri di IPTA seluruh negara, berbanding pelajar lelaki seramai 13,177 orang atau 34.2 peratus.
   
Mengulas lanjut dalam sidang media selepas itu, beliau berkata, usaha

Kementerian Pelajaran untuk mengkaji semula pendekatan yang mereka ambil di sekolah-sekolah adalah cara yang terbaik di mana cara pelajar lelaki berfikir dan bertindak perlu difahami, dan pendidikan berasaskan peperiksaan tidak begitu sesuai.  

Kemasukan ke IPTA pada tahun ini juga menyaksikan persaingan adalah amat sengit kerana pencapaian pelajar yang lebih baik, namun bagi 683 pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Matrikulasi yang mempunyai gred 3.0 ke atas tetapi gagal untuk mendapat tempat, mereka akan diberikan tempat sekiranya tidak memilih mengenai kursus yang ditawarkan dalam proses rayuan, katanya. - Bernama