KUALA LUMPUR - Putrajaya antara lapan kawasan yang mencatat kualiti udara tidak sihat akibat jerebu dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 hari ini.

IPU yang dicatat di Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 11 pagi tadi ialah 101.

Kawasan lain yang mencatat IPU tertinggi ialah Pelabuhan Klang (142), Petaling Jaya (131), Shah Alam (130), Banting (120), Kuala Selangor (101) di Selangor serta Cheras (133) dan Batu Muda (128) di sini.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), www.doe.gov.my, jumlah kawasan yang mencatat kualiti udara tidak sihat meningkat kepada lapan berbanding tujuh kawasan pada 7 pagi ini.

Sebanyak 31 kawasan dari 51 stesen pengawasan kualiti udara JAS di seluruh negara pula mencatat bacaan IPU sederhana termasuk di Nilai, Negeri Sembilan dengan bacaan 100, manakala 11 lagi kawasan mencatat bacaan IPU baik.

Bacaan IPU 0-50 diklasifikasi sebagai baik, 50-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Kemerosotan kualiti udara yang dialami di Lembah Klang ketika ini disebabkan pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia. - Bernama