KLANG - Koperasi perlu dijenamakan semula bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap barangan dan perkhidmatan ditawarkan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penjenamaan semula penting berikutan sehingga kini terdapat stigma dalam kalangan masyarakat yang beranggapan barangan dan perkhidmatan keluaran koperasi tidak setanding atau kurang berkualiti jika dibandingkan dengan syarikat lain.

“Ramai tidak tahu Dutch Lady yang menjual pelbagai produk susu di sini merupakan syarikat milik koperasi peladang di Belanda, begitu juga beberapa lagi barangan keluaran syarikat antarabangsa dijual di sini.

"Produk koperasi dapat menarik perhatian pengguna berikutan jenama perniagaan yang digunakan bagi semua keluaran produknya.

“Pemilikan koperasi itu tidak berubah cuma jenama perniagaan jadi identiti baharu kepada produk koperasi, saya cuma cadangkan, namun terserah kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk menilai,” katanya pada sidang media selepas penutupan Konvesyen Hala Tuju Koperasi Orang Asli peringkat kebangsaan, semalam.

Turut hadir, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Ahli Dewan Negara yang mewakili Orang Asli, Isa Ab Hamid.

Mengulas mengenai koperasi Orang Asli, Ismail Sabri menyarankan supaya koperasi berkenaan menceburi bidang pelancongan desa terutama inap desa yang berpotensi besar.

“Koperasi Orang Asli yang ada sekarang kebanyakannya tumpu sektor perladangan dan tidak kepada sektor pelancongan yang mampu beri keuntungan besar dengan modal sedikit.

“Inap desa merupakan antara produk pelancongan yang perlu diterokai koperasi Orang Asli. Saya percaya ramai masyarakat di luar sana berminat merasai cara hidup dan budaya masyarakat Orang Asli yang pelbagai di negara kita, termasuk pelancong luar negara,” katanya.

Jelas Ismail Sabri, inap desa tidak memerlukan modal besar kerana tujuannya adalah untuk beri peluang kepada pelancong rasai sendiri kehidupan masyarakat Orang Asli. - Bernama