KAJIAN Malaysian Burden of Health Disease menunjukkan 21 peratus beban penyakit di negara ini adalah disebabkan oleh penyakit mental.

Pakar Psikiatri Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), Dr Siti Hazrah Selamat Din berkata, kesannya menjejaskan produktiviti negara kerana ramai pesakit yang tidak dapat bekerja.

Ini dibuktikan lagi oleh kajian di negara luar pada 2009 yang mendapati penyakit mental menyebabkan kerugian 136 hari bekerja di Amerika, 49 hari di China dan 51 hari di Jepun.

Mengulas mengenai penyakit mental di negara ini beliau berkata, National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2006 iaitu satu kajian am untuk mengenal pasti status kesihatan penduduk di negara ini, telah dijalankan yang mana kesihatan mental adalah salah satu daripada fokus kajian ini.

“Soalan-soalan berkaitan kesihatan mental seperti perasaan murung, kerisauan, masalah tidur, gangguan fikiran dan fungsi sosial, perasaan ingin membunuh diri dan sebagainya telah disoal kepada setiap penduduk yang terlibat dalam kajian ini.

“Didapati bahawa 11.2 peratus daripada penduduk dewasa mempunyai tanda-tanda penyakit mental manakala kadar yang lebih tinggi didapati di kalangan kanak-kanak dan remaja iaitu sebanyak 20.3 peratus. (Difahamkan bahawa dalam NHMS 2011 baru-baru ini, kadar ini bertambah 12 peratus dalam kalangan orang dewasa),” kata pakar tersebut.

Menurutnya, secara am nisbah pesakit lelaki kepada pesakit perempuan adalah sama untuk kebanyakan jenis penyakit mental tetapi untuk penyakit kemurungan, didapati wanita lebih ramai menghidapinya daripada lelaki dengan nisbah 2:1.

Secara keseluruhan, kajian NMHS 2006 mendapati 55 peratus wanita dan 45 peratus lelaki ada mengalami gejala penyakit mental.

Dr Siti Hazrah berkata, dalam kajian itu didapati bahawa penyakit psikiatri lebih banyak terdapat di kalangan masyarakat bandar (12.6 peratus) berbanding masyarakat luar bandar (8.5 peratus).

“Kajian juga mendapati bahawa mereka yang mempunyai pendidikan rendah atau tidak bersekolah mencatat kadar yang lebih tinggi (15peratus) berbanding mereka yang berpendidikan tinggi (10 peratus). Mereka yang duda/janda (13.6 peratus), tidak berkahwin (13.1 peratus) atau balu (12.2 peratus) mencatat kadar lebih tinggi berbanding yang berkahwin (10.5 peratus).

“Secara amnya, penyakit mental yang paling tinggi peratusannya adalah penyakit kerisauan, diikuti penyakit kemurungan, masalah penyalahgunaan dadah, masalah gangguan personaliti dan penyakit skizofrenia. Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan peratusan untuk penyakit kerisauan adalah 18 peratus, diikuti penyakit kemurungan 9.5 peratus, kecelaruan personaliti 9.1 peratus dan skizofrenia hanya 1peratus.

“Fikiran ingin membunuh diri juga dikesan antara masalah mental yang kerap berlaku yang mana kajian NMHS 2006 mendapati bahawa 11 peratus daripada golongan remaja mempunyai keinginan membunuh diri.

Baru-baru ini juga turut dilaporkan bahawa terdapat lebih 1,000 kes bunuh diri berdasarkan kes-kes bedah siasat di antara 2007 hingga 2010, iaitu 1.3 dalam 100,000 orang. Walaupun jumlah ini jauh dari purata kes bunuh diri global (16 per 100,000), masalah ini harus diambil berat kerana bunuh diri boleh dielakkan sekiranya mereka yang mengalami perasaan ini mendapatkan bantuan dan rawatan,” tegas beliau.

Namun sukar apabila cabaran terbesar dalam perawatan penyakit mental adalah stigma atau pun label negatif yang diberikan ke atas penyakit mental.

“Ramai beranggapan bahawa penyakit mental bermakna psikosis atau gila serta hilang kewarasan. “Kajian di Amerika Syarikat pada 2010 mendapati bahawa 64 peratus responden memberi takrifan penyakit mental sebagai skizofrenia dan 57peratus pula berpendapat sakit mental adalah sebenarnya ‘Split Personality’.

Kedua-dua takrifan ini adalah salah kerana sebenarnya terdapat pelbagai jenis penyakit mental lain.

“Skizofrenia dan penyakit personaliti adalah hanya antara contoh-contoh penyakit ini. Penyakit kerisauan dan kemurunganjuga adalah penyakit mental, yang lebih tinggi peratusannya berbanding skizofrenia, dan setiap individu berisiko untuk mendapat gejala penyakit-penyakit kerisauan atau kemurungan ini,” katanya.

Dr Siti Hazrah berkata, setiap individu adalah berbeza dalammenghadapi tekanan dan cara kita menangani tekanan bergantung antaranya kepada ‘coping skills’, personaliti kita sendiri serta sokongan keluarga dan rakan-rakan.

Katanya, mengamalkan gaya hidup sihat seperti riadah, mempunyai hobi, mempunyai hubungan yang baik sesama keluarga, rakan dan masyarakat setempat, serta berfikiran positif boleh membantu kita menghadapi tekanan dengan lebih baik.

Menurutnya, kini antara langkah kerajaan untuk memperkasakan tahap kesihatan mental di kalangan masyarakat ialah dengan merealisasikan kempen gaya-hidup sihat yang dijalankan sejak bertahun lamanya bagi mempromosi kesihatan mental yang baik.

“Antara kandungan akta dan peraturan ini ialah penubuhan Pusat Komuniti Mental Masyarakat iaitu sebuah pusat setempat yang akan didirikan berdekatan dengan komuniti itu sendiri bertujuan memberikan rawatan yang dekat dengan pesakit serta mengurangkan stigma ke atas penyakit mental. Buat masa ini, sebuah pusat telah diwujudkan di Putrajaya bertempat di kawasan kediaman Presint 11,” katanya.