KUALA LUMPUR - Hubungan dua hala antara Malaysia dan China kini berada pada era dan tahap terbaik, dan bakal menjadi lebih kukuh dalam tahun-tahun akan datang, kata Duta China ke Malaysia, Chai Xi.
   
Sejak ditugaskan di negara ini pada Julai 2009, duta itu berkata beliau telah menyaksikan hubungan antara kedua-dua negara semakin kukuh dan ini terserlah menerusi pelbagai pertukaran dan kerjasama peringkat tinggi, lebih-lebih lagi selepas lawatan Presiden Hu Jintao ke Malaysia pada November 2009.
   
Pada lawatan itu, pemimpin tertinggi kedua-dua negara bersetuju melaksanakan pelan tindakan bersama untuk meningkatkan lagi kerjasama strategik, katanya.
   
Chai berkata peristiwa penting itu menandakan bermulanya satu lagi lembaran baru dalam hubungan setiakawan yang telah terjalin lebih tiga dekad, yang beliau yakin akan terus diperkukuhkan dari tahun ke tahun.
   
"Dapat saya katakan bahawa kita telah sampai ke tahap terbaik dalam hubungan kita khususnya dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Selepas pertukaran peringkat tinggi ini, hubungan kita telah memasuki era baru," katanya dalam wawancara dengan Bernama, di sini.
   
Beliau berkata pelbagai pertukaran peringkat tinggi baru-baru ini membuktikan hubungan setiakawan yang utuh dan melambangkan keyakinan politik di kalangan pemimpin kedua-dua negara.
   
Hubungan dua hala Malaysia dengan China mencatatkan satu lagi sejarah baru-baru ini apabila China bersetuju meminjamkan sepasang beruang panda gergasi kepada Malaysia sebagai tanda hubungan akrab mereka.
   
Perjanjian antara Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China dan Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara Malaysia dimeterai di Putrajaya, Jumaat lepas.
   
Najib telah mengemukakan permintaan itu secara peribadi kepada Wen semasa beliau melakukan lawatan ke Nanning, China April lepas.
   
Chai berkata permintaan itu telah dipersetujui serta merta oleh Wen, membuktikan kedua-dua negara menjalin hubungan yang amat istimewa.
   
"Ini agak unik. Untuk menghantar panda ke negara asing adalah sesuatu yang bukannya mudah, tetapi pada kali ini, kedua-dua pemimpin, telah menjadikan perkara yang sukar sebagai sesuatu yang mudah. Saya benar-benar berharap yang rakan-rakan kami di Malaysia akan gembira dengan panda ini," katanya.
   
Setakat ini, China hanya meminjamkan 23 ekor panda yang menjadi simbol terkenal negara itu kepada sembilan negara.
   
Selain daripada panda, Malaysia dan China juga bersetuju untuk bersama-sama membangunkan Taman Perindustrian Qinzhou (QIP) seluas 55km persegi di kawasan pantai Provinsi Guangxi dan mewujudkan Taman Perindustrian Malaysia-China di Kuantan, Pahang.
   
Antara industri yang telah dikenal pasti untuk dibangunkan di QIP ialah kilang penapisan minyak sawit, pembuatan alat ganti kenderaan dan bidang-bidang berkaitan teknologi maklumat.
   
Di bawah kerjasama itu, usahawan Malaysia yang beroperasi di QIP dijangka boleh menikmati insentif dan langkah-langkah baik daripada dasar yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa China, kata Chai.
 
China adalah rakan perdagangan utama Malaysia manakala Malaysia ialah rakan perdagangan terbesar China di Asean. Nilai keseluruhan perdagangan antara kedua-dua negara mencecah lebih US$90 bilion pada 2011, meningkat sebanyak US$52 bilion dari tahun sebelumnya.
   
"Nilai perdagangan terus meningkat. Secara peribadi, saya fikir bahawa, sama ada pada tahun ini atau tahun depan, nilai perdagangan antara China dan Malaysia akan mencecah angka US$100 bilion.
   
"Ini bermakna Malaysia akan menjadi negara ketiga di Asia selepas Jepun dan Republik Korea untuk menjadi rakan perdagangan terbesar China," katanya.
   
Dalam pada itu, Duta China itu berkata terdapat banyak potensi dalam sektor lain yang boleh diterokai kedua-dua negara untuk memperkukuhkan lagi hubungan dua hala.
   
"Misalnya dalam perubatan herba. Malaysia mempunyai banyak kawasan hutan yang saya percaya kaya dengan pelbagai tumbuhan herba.
   
"Dalam aspek ini, saya fikir kita boleh bekerjasama untuk menjalankan penyelidikan dan membangunkan ubat-ubatan herba, yang kini semakin popular berikutan khasiatnya serta tiada kesan sampingan," kata Chai.
   
Mengenai sumbangan beliau dalam meningkatkan hubungan dua hala, Chai berkata satu daripadanya ialah beliau telah mencadangkan kepada Beijing untuk mewujudkan
sebuah taman perindustrian di Malaysia, yang diterima secara positif oleh kerajaannya.
   
"Dalam masa dua tahun lepas, saya banyak mengkaji mengenai negara ini dan mendapati ia mempunyai banyak potensi. Saya menulis banyak laporan kepada Beijing dan satu daripadanya ialah cadangan mewujudkan sebuah taman perindustrian di sini.
   
"Saya memberitahu rakan sekerja saya bahawa masanya amat sesuai untuk China menimbangkan sebuah taman perindustrian di sini. Idea saya ialah -- mari kita bersama-sama mewujudkan pentasnya dan kemudian mempelawa para usahawan ke situ," katanya. - Bernama