YAYASAN Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) berharap boleh menjadi penghubung yang berpengaruh bagi mengeratkan persefahaman dan saling hormat-menghormati antara satu dengan lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Nasharudin Mat Isa mengakui tugas ini bukanlah senang untuk dilakukan.

Bagaimanapun, beliau tetap  gembira kerana mendapat sokongan daripada pelbagai kaum untuk mewujudkan amalan hidup secara kesederhanaan ini.

"Gerakan kesederhanaan ini tidak akan berjaya hanya melalui satu atau dua aktiviti. Sebaliknya perlu dilakukan secara berterusan untuk jangka masa yang panjang, malahan ia mesti dapat penglibatan daripada semua kaum di negara kita," kata Nasharudin ketika ditemu bual oleh Sin Chew Daily.

Menurut beliau, buat masa ini, ramai yang tidak memahami sebenar konsep kesederhanaan dan cabaran kedua yang dihadapi pihaknya ialah perlu seiringan dengan kemajuan teknologi bermaklumat.