PUTRAJAYA - Tidak sekadar belayar, 'Program Ibrah Cuise Putrajaya' yang berlangsung di atas Kapal Kelah, Tasik Putrajaya hari ini memberi iktibar dan pengajaran kisah Bahtera Nabi Nuh A.S.

Program anjuran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dengan kerjasama Marina Putrajaya, dan Badan Kebajikan Mutiara Putrajaya itu dianjurkan bersempena Sambutan Hari Wanita yang disambut hari ini.

Penyelaras program, Hamdan Muhamad berkata, program yang pertama kali dianjurkan itu merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertujuan untuk berdakwah dan memberi peluang  golongan wanita mendapat pengajaran melalui sesi bacaan Al-Quran dan terjemahan serta kuliah daripada petikan Surah An-Nuh.

Hamdan yang juga merupakan Imam Masjid Al Mizan berkata, tajuk Bahtera Nabi Nuh itu dipilih bersesuaian dengan lokasi program yang  berlangsung di atas Cruise

"Diharapkan kesemua peserta mendapat manfaat. Dengan tidak hanya membaca Al Quran bahkan berinteraksi dengan al-Quran, memahami dan mengamalkan nya,"katanya.

Para peserta sedang khusyuk membaca Al-Quran.

Beliau berkata melihatkan sambutan yang amat menggalakkan, pihak penganjur merancang untuk meneruskan program ini pada suku kedua tahun ini yang akan dibuka kepada kariah sekitar Putrajaya dan orang ramai.

Sementara itu program yang disertai kira-kira 110 ahli Badan Kebajikan Mutiara Putrajaya iaitu terdiri daripada kakitangan wanita  dan isteri kepada pegawai jabatan kerajaaan sekitar Putrajaya.

Program dimulakan jam 9.30 pagi di mana kesemua peserta di bawa berlayar menaiki  Cruise Kelah dari Jeti Putra selama dua jam dengan sessi #QuranHour iaitu bacaan Surah berserta terjemahan dipimpin oleh Ketua Pegawai Penyelidik dan Modul Warisan Ummah Ikhlas, Ustaz Fazrul Fahmee Ismail.

Antara lain, intipati Surah An-Nuh menceritakan mengenai Bahtera Nabi Nuh yang dibina bertujuan mengajak seluruh ahli keluarga dan umatnya untuk bersama-sama pada jalan ALLAH SWT.

Ustaz Fazrul Fahmee bergambar kenangan bersama sebahagian peserta.

Sementara itu,  Aniq Ruzain Abdul Harith bagi pihak Cruise Tasik Putrajaya berkata, program  seumpama ini amat baik untuk dilaksanakan sebagai program kerohanian.

"Kami melihat program seumpama amat sesuai dilaksanakan sebagai satu cara menambah ilmu kerohanian disamping dapat menikmati pengalaman menaiki Cruise di sepanjang Tasik Putrajaya,"katanya.

Tambahnya, program tersebut akan dicadangkan untuk dijadikan aktiviti sepanjang bulan Ramadhan bagi memberi ruang kepada pengunjung mengikuti sesi kuliah agama di atas Cruise.