KUALA LUMPUR - Ahli silap mata Malaysia Kabir Khan Mohamad Reaz akan mengadakan persembahan di London atas undangan The Magic Circle, kelab yang dianggotai ahli dan peminat silap mata terkenal di dunia sejak 1905.
    
Kabir Khan, 29, akan mengadakan persembahannya bulan depan. Pemergiannya ke seberang laut itu ditaja beberapa syarikat tempatan termasuk Menara Kuala Lumpur dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.
    
Pada sidang akhbar di sini hari ini, ahli silap mata kelahiran Pulau Pinang ini berkata beliau akan menyelitkan identiti Malaysia dalam aksi yang akan dilakukan kelak untuk mempromosi Malaysia di London.
    
"Setiap kali saya mengadakan persembahan, penonton bertanya tentang Malaysia kerana mereka tidak percaya kita ada orang macam David Copperfield.
    
"Walaupun persembahan saya nanti sama saja, tapi saya boleh beri jaminan bahawa kualitinya tetap sama dengan persembahan yang saya adakan di Hollywood pada 2011," katanya.
    
Kabir Khan pernah mengadakan persembahan di Emiriyah Arab Bersatu pada 2009 atas jemputan Pihak Berkuasa Pelancongan Abu Dhabi dan di beberapa hotel mewah di Abu Dhabi dan Dubai.
    
Beliau pernah menuntut di McBride School of Magic and Mystery, Las Vegas, dan bekas pelajar dalam bidang Manual Dexterity and Prestidigitation, Chaves Studio of Magic, Los Angeles.
    
Mengimbas kembali pembabitannya dalam bidang permainan silap mata, pengarah Business Magic Worldwide (M) Sdn Bhd ini berkata beliau mula meminati bidang itu ketika berusia enam tahun selepas menonton persembahan ahli silap mata terkenal dunia David Copperfield pada 1980-an.
    
Beliau mula melakukan aksi itu ketika bersekolah dengan mengadakan persembahan pada majlis makan malam anjuran syarikat.
    
Sejajar dengan hasratnya untuk melihat lebih ramai belia Malaysia melibatkan diri dalam bidang ini, Kabir Khan merancang untuk membuka kelas silap mata untuk berkongsi pengetahuannya dengan mereka. - Bernama