KUALA LUMPUR - Seramai 1,681 jururawat dari Kolej Kejururawatan swasta akan diambil untuk berkhidmat di hospital kerajaan, akhir tahun ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
   
Katanya, sebelum ini bilangan pengambilan itu adalah sedikit sahaja iaitu satu peratus jururawat dari kolej swasta bagi setiap 3,000 pengambilan.   
   
Pengambilan kali ini bertambah bagi menampung kekurangan jururawat di hospital kerajaan selain permohonan yang tinggi dari kolej swasta, katanya.
   
Tiong Lai berkata, menurut rekod Kementerian Sumber Manusia, bilangan pemohon bagi jawatan jururawat meningkat dari 2,500 orang tahun lepas kepada 5,000 permohonan baru-baru ini.
   
"Setiap tahun kita akan mengambil bilangan ini sehingga pada tahun 2015 kita akan mempunyai lebih kurang 6,726 jururawat daripada kolej swasta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Kejururawatan Bencana sempena Persidangan Kejururawatan Malaysia-Singapura ke-17 hari ini.
  
Beliau berkata, bagi memastikan piawaian jururawat dari kolej swasta itu menepati syarat, mereka perlu menduduki dan lulus peperiksaan Lembaga Jururawat Malaysia.
   
Menurutnya, sehingga kini, kementerian mempunyai 66,000 jururawat yang berkhidmat di hospital-hospital kerajaan di seluruh negara.
   
Sebelum itu, dalam ucapannya, Tiong Lai berkata, 473 jururawat dilatih dalam persediaan menghadapi bencana manakala 438 jururawat lagi dilatih dalam program kejururawatan trauma dan kecemasan tahun lepas.
   
Katanya, program latihan berkenaan juga diperluaskan ke institusi-institusi swasta.
   
"Pakar perubatan kecemasan di hospital-hospital utama di seluruh negara telah mula membangunkan program latihan jururawat dalam bidang persediaan menghadapi bencana, menggubal pelan bencana untuk hospital dan mengadakan latihan bencana bagi memastikan pengurusan dan penjagaan pesakit dengan betul dalam suasana bencana.
   
Katanya, jururawat perlu bersedia untuk berurusan dengan semua keadaan bahaya di mana mereka memainkan peranan utama dalam bertindak balas kepada peristiwa-peristiwa itu dan menguruskan mangsa bagi memastikan hasil yang sebaik mungkin. - Bernama