KUALA LUMPUR - Sekurang-kurangnya 1,500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka menggunakan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) tahun depan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Chua Tee Yong.

DFTZ dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengasas Alibaba Jack Ma pada 3 November lepas.

"Kami menggalakkan lebih banyak PKS menggunakan DFTZ sebagai platform untuk pengusaha mengeksport produk mereka kerana ia akan memendekkan proses dokumentasi dan pelepasan dan membolehkan mereka mempunyai jangkauan global yang lebih besar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Antarabangsa Institut Akauntan Malaysia (MIA) 2017 di sini hari ini.

Chua berkata MIA boleh memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan tambah nilai dengan menasihati PKS untuk memperbaiki diri dari segi produk, pertumbuhan dan aktiviti pengembangan.

"Mereka boleh menggalakkan pemilik menghubungi agensi yang berkaitan untuk membantu mereka dari segi eksport," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Chua berkata Malaysia jelas mengikuti aliran digitalisasi dengan peruntukan RM245 juta dalam Bajet 2018 bagi syarikat mengguna pakai konsep pembuatan pintar.

"Penggunaan digital penting untuk memastikan Malaysia menjadi negara yang lebih kompetitif serta meningkatkan perdagangan dan pelaburan.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib jack ma lancar dftz malaysia

"Dalam usaha untuk  mencapai status negara 20 terkemuka seperti yang dicatatkan dalam inisiatif TN50, perniagaan perlu mengikuti perkembangan terkini dan mengguna pakai trend mega seperti globalisasi, masa  depan digital, revolusi industri 4.0 dan kebangkitan keusahawanan," katanya.

Bertemakan Memperluas Batasan, Akan Masa Depan Yang Relevan", persidangan dua hari ini menarik 3,000 perwakilan daripada sektor perdagangan dan perindustrian, sektor awam, ahli akademik dan awam. –Bernama