PARIT - Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke mahkamah majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya di pos pengawal sebuah kilang ubat di Seri Iskandar, bulan lepas.

Mohd Halin Jabar, 52, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadarudin.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan bunuh menyebabkan kematian ke atas Masri A/L Pandak, 37, di pos pengawal Idaman Pharma Manufacturing Sdn Bhd, Lot 120 Taman Farmaseutikal di Seri Iskandar kira-kira pukul 7.55 malam, 31 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 31 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan menunggu laporan bedah siasat ke atas mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, di Mahkamah Sesyen Ipoh, Mohd Halin mengaku bersalah atas pertuduhan memilki senjata api tanpa kebenaran, di tempat dan waktu kejadian yang sama.

Hakim Murtazadi Amran menetapkan 19 Sept ini untuk sebutan semula kes selain tidak membenarkan sebarang jaminan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan sehingga enam kali kerana memiliki sepucuk pistol jenis semi auto nombor siri 83451 tanpa kebenaran yang sah daripada mana-mana pihak.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzi Md Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Yahya Abd Rahman pada 3 September lalu berkata perbezaan gaji antara tertuduh dan mangsa dikenal pasti sebagai motif pembunuhan.  -Bernama