KUALA LUMPUR - Kerajaan Persekutuan hari ini dijangka memohon kepada Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur untuk mencelah dalam kes saman RM60 juta oleh sebuah firma tukang emas Lubnan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor.

Memetik laporan portal Malaysiakini, seorang sumber rapat dengan kerajaan yang enggan dikenali memberitahu bahawa, wakil dari Jabatan Peguam Negara akan dihantar bagi kes berkenaan.

“Kerajaan percaya barangan kemas tersebut milik negara. Justeru, kami akan mencelah,” katanya.

Sebelum ini, portal tempatan itu melaporkan seorang tukang emas borong terkenal dari Lubnan memfailkan saman AS$14.79 juta (RM59.831 juta) terhadap Rosmah bulan lalu atas penghantaran 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya pada Februari.

Namun ke semua barang kemas tersebut telah dirampas oleh pihak polis pada Mei lalu.

Menerusi dokumen yang dilihat oleh Malaysiakini, Global Royalty Trading SAL memfailkan saman berkenaan melalui firma Tetuan David Gurupatham dan Koay.

Global Royalty, menerusi memorandum bernombor 926 bertarikh 10 Februari tahun ini, telah menghantar 44 unit barangan kemas, termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, setiap satu bernilai antara AS$124,000 dan AS$925,000.

Firma itu mendakwa isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu, dalam surat bertarikh 22 Mei, mengakui menerima barangan berkenaan.

Firma itu juga memohon perintah mandatori supaya barangan berkenaan dikembalikan atau secara alternatif, jika ia tidak dapat dipulangkan, Rosmah wajar membayar jumlah yang dinyatakan berdasarkan nilai barangan kemas tersebut.