PETALING JAYA - Seorang penganggur yang meragut beg sehingga mangsa diseret di atas jalan raya, hari ini dihukum penjara lima tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Azwarnida Affandi menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Afiq Othman, 30, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan menyamun beg sandang milik Zarina Omar, 46, sehingga menyebabkan kecederaan terhadap wanita itu.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Intan 2/6, Taman Puchong Intan, Puchong, di sini, pada 10.15 malam, 15 Feb lalu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Izleen Ismail memohon hukuman pemenjaraan yang minimum atas alasan pengakuan salah anak guamnya telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

"Ini adalah kesalahan pertama tertuduh. Ketika kejadian tertuduh tidak bekerja kerana mengalami kemalangan sehingga terpaksa menjalani fisioterapi.

"Tertuduh juga telah menyesal dan insaf atas perbuatannya,  oleh itu saya mohon satu hukuman yang ringan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Mawarni Abd Halim memohon hukuman berat mengambil kira  mangsa mengalami kecederaan parah dan trauma sehingga tidak boleh lagi menunggang motosikal.

"Oleh itu, mohon satu hukuman yang dapat memberikan pengajaran dan keinsafan kepada tertuduh dan masyarakat,” katanya.- Bernama.