DUNIA telah pun menyaksikan bagaimana sebuah negara berbilang bangsa dan agama mampu melakukan peralihan kuasa dan kerajaan dengan suasana demokrasi yang penuh harmoni.

Pastinya sambutan Hari Malaysia yang bakal disambut tahun ini akan mencipta sejarahnya yang istimewa dan tersendiri apabila diraikan dengan nafas ‘Malaysia Baharu’ bermula 9 Mei lalu.  

Semangat perjuangan dan kemerdekaan yang diraikan pada tanggal 31 Ogos saban tahun tidak akan sama dengan sambutan bersejarah Hari Malaysia. Sewajarnya detik peristiwa 1963 ini tidak dilupakan malah menjadi titik sejarah yang sangat bermakna melalui pengiktirafan Sabah dan Sarawak bagi membentuk identiti nasional yang baharu.

Namun, apa yang lebih penting pada saat ini ialah untuk kita sama-sama mengimbas kembali apakah pencapaian yang boleh kita rai dan hargai bersama selepas 55 tahun berlalu? Dan bagaimanakah harus kita menetapkan hala tuju negara pasca detik Malaysia Baharu ini?

Umum mengetahui bahawa Tanah Melayu pada zaman pra-kemerdekaan pernah muncul sebagai pusat perdagangan yang pesat dan maju. Walau bagaimanapun, puncak kemajuan perdagangan oleh kerajaan Melaka inilah juga yang akhirnya telah mengundang penjajahan selama hampir 400 tahun oleh kuasa Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun.

Selepas kemerdekaan dan pembentukan Malaysia, beberapa rancangan pembangunan dan penstrukturan ekonomi telah dilaksanakan. Antaranya Rancangan Pembangunan Ekonomi, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Perindustrian Negara, Dasar Pertanian Negara, Dasar Persyarikatan Malaysia, Dasar Penswastaan dan sebagainya.

Jika kita nilai pembangunan dan kemajuan melalui kaca mata ekonomi, sebahagiannya telah pun membuahkan hasil seperti yang kita sama-sama kecapi hari ini. Melalui program pembasmian kemiskinan misalnya, kadar kemiskinan secara keseluruhan telah menurun daripada 64.8 peratus pada tahun 1970 kepada 0.4 peratus pada 2016.

Purata pendapatan kasar bulanan isi rumah juga telah meningkat daripada RM264 kepada RM6,958. Pencapaian dari aspek pendapatan ini juga seiring dengan pencapaian pendidikan secara amnya.

Pencapaian ekonomi Malaysia telah menunjukkan perkembangan yang positif bagi tempoh hampir dua dekad terakhir ini. Pembangunan fizikal seperti pengangkutan, perhubungan dan perumahan menunjukkan kadar peratusan tertinggi. Sebahagian kawasan pinggiran dan luar bandar telah pun melalui proses urbanisasi menjadi kawasan bandar.

Namun, pencapaian ekonomi fizikal atau material ini tidak akan membawa kehidupan yang sempurna dan bermakna jika tidak diimbangi dengan kesejahteraan sosial. Berdasarkan laporan terkini oleh Unit Perancang Ekonomi, keseluruhan 14 aspek ekonomi rakyat Malaysia telah mencapai peningkatan kecuali kesejahteraan keluarga.

Dalam erti kata lain, pembangunan keluarga di Malaysia adalah satu-satunya agenda kesejahteraan yang tidak berjaya dicapai secara positif dan ini sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan kadar perceraian.

Malah jika dilihat secara keseluruhan, jelas menunjukkan pembangunan sosial seperti kesihatan dan kebudayaan serta pembangunan alam sekitar mempunyai perkembangan positif yang paling minimum berbanding pembangunan fizikal. Mengapakah pembangunan ekonomi dan sosial yang tidak seimbang ini berlaku dan wajarkah ini berterusan dalam Malaysia baharu?

Pelbagai andaian dan persepsi boleh dikaitkan dengan situasi pembangunan yang tidak seimbang ini. Antaranya termasuklah krisis nilai dan etika dalam masyarakat Malaysia sendiri. Contohnya, peningkatan mendadak kadar jenayah ekonomi di Malaysia yang melebihi 10 peratus tahun ini berbanding dua tahun yang lalu. Berdasarkan kaji selidik global oleh PwC, tiga faktor utama peningkatan jenayah ekonomi ini berkait dengan amalan salah laku perniagaan, penyelewengan aset dan rasuah.

Bagaimanakah situasi ini harus ditangani? Sewajarnya krisis nilai dan etika menjadi agenda utama untuk Malaysia baharu. Apalah ertinya jika pembangunan fizikal dengan bangunan pencakar langit yang gah diisi oleh pemimpin yang mengamalkan rasuah dan kakitangan yang tidak amanah. Begitu juga dengan institusi kekeluargaan; tidak membawa makna membina rumah yang mewah tetapi berlaku perceraian dan ikatan kekeluargaan akhirnya punah.

Justeru, tidak keterlaluan sekiranya Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 pada 1 September yang lalu menekankan agenda pembangunan negara melalui pemerkasaan nilai, etika dan moral. Berbeza dengan resolusi sebelum ini, kongres kali ini tidak lagi menekankan ‘tongkat’ ekonomi seperti subsidi atau bantuan pembiayaan. Sebaliknya keutamaan nilai, etika dan budaya dijadikan sebagai tonggak kekuatan ekonomi dan sosial secara bersama antara Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Ada yang berfikir apakah agenda untuk kembali kepada pengukuhan nilai, etika dan dan moral yang berasaskan agama akan menyebabkan kita ketinggalan dari segi pembangunan ekonomi akan datang? Mungkin tidak, malahan ini sewajarnya menjadi kekuatan untuk melonjakkan ekonomi pada masa hadapan.

Lupakah kita bahawa Rukun Negara di Malaysia telah melafazkan ikrar untuk mencapai wawasan negara yang dimulai dengan prinsip agama dan diakhiri dengan kesopanan dan kesusilaan sebagai cermin peradaban?

Dalam senario negara yang masih mencari jalan untuk mencapai kemajuan ekonomi melalui Revolusi Industri 4.0, kita seharusnya lebih peka bahawa Industri 5.0 sudah pun menjengahkan diri. Dalam Industri 5.0 ini, kemajuan yang dicapai bukan sekadar melalui penguasaan mesin dan teknologi automasi, tetapi teknologi pintar manusia dan mesin (man and machines).

Di sini, kita dapat lihat sejauh mana pun teknologi berkembang, asas kemajuan akan tetap berbalik kepada pembangunan manusia itu kembali. Dan di sinilah juga rasional di mana nilai, etika dan moral diangkat dan dimartabatkan kembali untuk kemajuan ekonomi dan sosial yang seimbang pada masa akan datang.

Dalam konteks agama Islam, Jakim dan Main telah memainkan peranan melalui pengukuhan tadbir urus dan kesejahteraan kehidupan yang menyeluruh berpandukan maqasid al-syariah. Seharusnya agenda ini dibudayakan sehingga menjadi sejati dan kesejahteraan itu sama-sama dirasai oleh semua kaum dan agama dalam perspektif rahmatan lil ‘alamin.

Ledakan informasi yang semakin menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan juga memerlukan penguasaan ilmu Islam yang benar bagi membentuk kesopanan dan kesusilaan serta nilai peradaban yang unggul. Dalam hal ini, agensi agama seperti IKIM harus dilihat sebagai salah satu institusi penting sesuai dengan dasarnya “Memahami Islam Membina Peradaban” bagi menggalas cabaran era Malaysia Baharu.

* Penulis ialah Felow, Pusat Ekonomi & Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)