AKU terbaca satu tulisan di internet oleh Hassan Muthalib, seorang penggiat, pengkaji dan pengkritik filem bertajuk Hypocrisy Abounds In Life and Cinema. Terjemahan ringkasnya - Hipokrasi Penuhi Kehidupan dan Filem.

Menurut Hassan, tulisannya itu diinspirasikan oleh artikel tersiar dalam The Sun Daily. Artikel, Key Officials Fail The Test tulisan Citizen Nades dalam akhbar itu tertumpu kepada kes pegawai kerajaan berpangkat tinggi didakwa terbabit dalam kes rasuah RM100 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan.

Seterusnya, artikel itu menyentuh mengenai kegagalan usaha dijalankan oleh jawatankuasa penyiasatan yang sering ditubuhkan untuk menyiasat bila berlaku kes-kes rasuah jutaan ringgit melibatkan pegawai-pegawai tinggi di agensi dan kementerian kerajaan.

Seringnya, laporan siasatan akan senyap begitu sahaja tanpa dibentangkan hasilnya untuk pengetahuan umum. Hasil siasatan kebanyakan kes rasuah hilang ditelan masa. Semua lupa sehingga timbul kes baharu lebih menggemparkan.

Apa kaitan artikel Citizen Nades yang tersiar pada 22 Mac 2016 dengan tulisan Hassan di internet pada 8 April, 2016? Apa pula kaitan kedua tulisan tersebut dengan aku dan kolumku ini? Isu yang diulas oleh mereka secara langsung dan tidak langsung ada hubungan dengan filem dan sinema tempatan mahupun dunia. Inilah yang ingin aku kongsikan bersama pembaca minggu ini.

Isu rasuah yang ditulis dan dikupas oleh mereka, kaitan mudahnya ialah semua ini berlaku kerana sikap hipokrit masyarakat kita. Dari peringkat bawahan (rakyat) sehingga ke peringkat paling tinggi (pemimpin).

Hassan menggunakan elemen filem dan sinematik dalam usaha mengupas kes-kes rasuah yang cuba dihilangkan daripada perhatian umum seperti ditimbulkan oleh artikel tulisan Citizen Nades itu.

Menurut Hassan, keadaan ini berlaku kerana ada unsur divertion dan distraction atau pengalihan perhatian dan pemesongan umum daripada isu utama lewat media cetak dan elektronik. Beliau mengesyorkan kepada yang berminat mengetahui dan mengesan taktik pengalihan perhatian dan pemesongan ini boleh mengguna pakai ilmu sinematik dan filem – teks dan subteks.

Dalam tulisannya, beliau menyentuh juga mengenai kekalutan dunia politik negara selain usaha memaparkan isu rasuah oleh pembikin filem tanah air lewat filem-filem arahan mereka.

Apa aku fahami setelah membaca tulisan Hassan dan Citizen Nades? Kefahaman aku dalam bahasa mudah atau bahasa orang biasa. Pertama, hidup kita lalui ini sebenarnya penuh dengan kehadiran manusia berperangai hipokrit atau munafik. Kedua, kemunafikan manusia di alam nyata khususnya di negara ini telah dan akan terus dijadikan bahan cerita oleh pengarah filem kita.

Setakat mana paparan kemunafikan ini berjaya difahami dan dikesan lewat filem-filem yang dihasilkan terpulang kepada penonton. Sekali lagi aku teringat kenyataan pedas Uwei Hj Shaari. Beliau perlukan penonton cerdik untuk buat filem cerdik. Begitu juga setakat mana keberhasilan paparan kemunafikan ini bergantung kepada kemampuan pengarah filem menghasilkannya. Secara  subtle - halus, atau secara langsung - direct. Pilihan ada di tangan sang pengarah.

Isu-isu melibatkan rasuah dan pergolakan politik amat jarang disentuh dan dijadikan naratif oleh pengarah filem tempatan. Hambatan pihak penapisan filem dan kurangnya nilai tarikan untuk berjaya menghasilkan kutipan pecah panggung sering menghantui produser dan pengarah yang berminat menghasilkan filem genre begini. Ini adalah andaian paling longgar mampu aku fikirkan setakat ini.

 Kepada Hassan, filem adalah satu bentuk seni yang mampu menggunakan tanda, penanda atau signifier untuk menyatakan makna tersirat dan tersurat sesesuatu kehidupan. Ini meliputi aspek teks dan sub-teks sesebuah filem. Tambahnya lagi, pembikin filem (juga novelis dan penggiat teater), dipengaruhi oleh apa yang berlaku dalam masyarakat dan negara mereka. Persekitaran hidup yang berlaku di sekeliling seseorang pengarah mempengaruhi dan memainkan peranan penting dalam proses pengkaryaannya. Secara sedar atau tidak, mereka akan cenderung untuk memasukkan komen dan kritikan mengenainya dalam kerja seni kreatif mereka.

Filem-filem memaparkan kepincangan  dalam politik sesebuah negara tetap diusahakan kerana pengaruh keadaan sekeliling dialami dan dilalui pembikin dan pengarah filem negara tersebut. Kenyataan dan realiti kehidupan tidak dapat dielak, lambat laun ia pasti berlaku.
Setakat ini, hanya ada beberapa filem Melayu menurut, Hassan berhasil menghantar tanda atau signifier mengkritik keadaan dan isu keserabutan politik tanah air yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam kehidupan seharian, perhatian kita terhadap isu-isu penting sering dialihkan dan dipesongkan - divert and distract oleh media massa.

Kedua elemen ini secara halus mula digunakan oleh pengarah filem kita untuk mengalihkan perhatian penonton yang selama ini hanya menikmati filem sebagai bahan hiburan sahaja. Tanpa disedari oleh penonton, sang pengarah mengalihkan perhatian mereka kepada isu-isu sensitif dan politikal yang merupakan inti pati naratif sesebuah filem arahannya. Pengarah-pengarah ini menggunakan taktik sama digunakan pihak berkuasa – alih dan pesong tetapi tujuan berlainan. Lebih kepada tujuan mendapatkan hasil positif dalam proses meningkatkan budaya dan tamadun bangsa.

 Hassan memberi beberapa contoh filem dihasilkan bagi mencapai tujuan tersebut di atas. Di antaranya, filem arahan Mamat Khalid, Apokalips X (2014).

Dalam filem ini, isu perebutan kuasa di antara orang-orang politik di alam nyata politik negara ini dipesongkan oleh Mamat. Golongan pemimpin gila dan berebut kuasa ini dipaparkan lewat watak-watak Melayu di sebalik kostum dan lagak gaya watak-watak anime dan watak-watak samurai komik manga lengkap dengan pedang samurainya. Watak-watak ini dibahagikan kepada 4 kelompok ganas dan gila kuasa. Pastinya kelompok ini melambangkan pemimpin dan parti-parti politik yang sedang berebut kuasa di alam nyata.

Diwujudkan satu kelompok anak muda yang mahukan perubahan di tengah-tengah keberantakan 4 kelompok tadi. Kelompok anak muda ini melambangkan pemimpin masa depan negara ini. Dengan bimbingan dan asuhan nilai-nilai tradisional budaya Melayu lewat watak mahaguru atau pendeta diperankan oleh Pyanhabib, kelompok anak muda ini akan akhirnya membina dan mewujudkan dunia baharu yang lebih waras dan bertamadun.

Hassan juga mengambil filem arahan Namron, Gedebe (2003) sebagai contoh bagaimana situasi kalut, karut dan bobrok politik negara dipaparkan dengan menggunakan elemen pengalihan dan pemesongan perhatian penonton bagi menyampaikan tema – kewujudan pemimpin-pemimpin politik berperangai gangster sehingga sanggup bertindak ganas dan kejam semata-mata untuk memenuhi keinginan nafsu jahat serakah mereka. Namron menggunakan watak-watak kelompok budaya popular, punk dan skinhead bagi mewakili pemimpin dan ahli parti-parti politik bergaduh sesama mereka yang wujud di alam nyata.

Kesimpulannya, dalam berkarya seseorang pengarah sedikit sebanyak pasti dipengaruhi keadaan persekitarannya. Ini adalah fitrah.