MINGGU ini aku ingin menulis tentang perkembangan terkini salah seorang pengarah filem dunia tersohor paling aku minati karya-karyanya. Tokoh ini juga merupakan inspirasi kepada aku daripada aspek sikap dan attitudes beliau dalam menghasilkan dan mengangkat sesuatu isu dan tokoh untuk dijadikan tema filem-filem arahannya.

Pengarah yang aku maksudkan ialah William Oliver Stone, lebih dikenali sebagai Oliver Stone. Berusia 70 tahun.

Aku mula mengenali filem-filem arahan beliau bermula dengan filem Salvador (1986) dan Platoon (1986). Kedua filem ini aku tonton lewat pita video VHS aku sewa daripada kedai sewaan video yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan pada era 80-an. Alat perakam dan pemain pita video VHS baharu muncul di pasaran ketika itu.

Era awal sehingga akhir 80-an filem-filem bukan berarus perdana Hollywood mampu diperoleh di kedai sewaan pita VHS sahaja. Itu pun bukan semua kedai sewaan video punya filem-filem sebegini untuk disewa.

Hampir semua filem yang rare ini hanya terdapat dalam bentuk rakaman pita VHS cetak rompak. Filem-filem seperti ini juga tidak dan jarang ditayangkan di pawagam tanah air. Boleh dikatakan tiada langsung ketika itu.

Walaupun aku ‘berdosa’ menonton kedua filem arahan Oliver Stone ini lewat pita video versi cetak rompak tetapi ia memberi kesan mendalam kepada aku tentang apa boleh dilakukan serta sikap boleh diambil dan dianuti oleh seseorang pembikin dan pengarah filem terhadap isu-isu politik.

Stone boleh aku anggap pengarah yang pakar dalam mengangkat isu-isu politikal dan kontroversial dunia terutamanya yang melibatkan Amerika Syarikat.

Bermula dengan isu penglibatan Amerika melalui kegiatan CIA di negara-negara dunia ketiga lewat filem Salvador (1986). Stone dengan berani mengupas lewat naratif filem ini tentang perang saudara antara kerajaan disokong dan dibantu dari segi ketenteraan oleh Amerika semasa era pentadbiran Jimmy Carter dan Ronald Reagan dengan puak gerila pemisah FMLN (Farabundo Marti National Liberation Front). Konflik ini berlarutan daripada 1979 sehingga 1992.

Stone jelas menyatakan sokongan dan simpatinya kepada puak gerila FMNLF lewat watak utamanya, Richard Boyle, wartawan dan penulis buku, The Flower of the Dragon: The Breakdown of the US Army in Vietnam(1972).

Stone berkolaborasi dengan Boyle menghasilkan skrip dan lakon layar filem ini berdasarkan pengalaman Boyle membuat liputan konflik perang saudara di El Salvador.

Filem ini membolehkan James Wood, pameran watak Richard Boyle dicalonkan untuk pelakon lelaki terbaik dan Stone dicalonkan untuk anugerah lakon layar terbaik pada Academy Award 1987.

Filem kedua arahan Stone, Platoon (1986) berdasarkan pengalamannya sendiri ketika bertugas di Vietnam ketika Perang Vietnam. Di antara 1967 sehingga 1968, beliau bertugas di bahagian infantri dan pernah dua kali mengalami kecederaan ketika bertugas. Stone dianugerahkan dengan pingat Bronze Star dan Purple Heart atas jasa dan keberaniannya.

Tetapi bila balik ke Amerika, pandangan beliau terhadap perang Vietnam berubah. Stone mula mempersoalkan kerelevanan penglibatan negaranya dalam perang tersebut. Stone melihat perang tersebut daripada sisi lain.

Ternyata kerajaan Amerika lebih merupakan penceroboh daripada penyelamat rakyat Vietnam Selatan dalam perangan dengan Vietnam Utara yang berideologi komunis.

Sekembali dari Vietnam, Stone melanjut pelajaran dalam bidang filem di New York University dan memperoleh ijazah dalam bidang filem pada 1971. Beliau memulakan kerjayanya dalam bidang filem sebagai penulis lakon layar.

Lakon layarnya untuk filem Midnight Express (1978) arahan Alan Parker membolehkan beliau memenangi anugerah Academy Award 1979 lakon layar terbaik.

Berbalik kepada filem Platoon, aku secara peribadi menyenaraikan filem ini sebagai di antara sepuluh filem favourite aku sepanjang masa. Melalui filem ini, aku lihat segala macam rasa protes Stone terhadap penglibatan Amerika dalam perang Vietnam.

Dengan berbekalkan pengalaman peribadi first hand beliau, filem Platoon menelanjangkan hipokrasi Amerika sebagai kononnya kuasa besar penyelamat dunia dan demokrasi.

Filem Platoon memenangi anugerah Academy Award untuk filem terbaik dan pengarah terbaik 1986. Filem ini juga diangkat oleh American Film Institute pada 1998 sebagai di antara 100 filem terbaik dunia.

Stone sememangnya seorang kaki protes dan penentang ketidakadilan, campur tangan yang dilakukan oleh Amerika di negara-negara dunia ketiga. Protes beliau terhadap perang Vietnam diteruskannya sepanjang akhir 80-an sehingga awal 90-an lewat filem-filem arahannya seperti Born on the Fourth of July (1989) dan Heaven and Earth (1993).

Stone juga menghasilkan filem-filem melibatkan tokoh-tokoh presiden Amerika dengan pendekatan dan perspektif yang luar daripada kebiasaan.

Bermula dengan filem JFK (1991), Stone mengupas peristiwa pembunuhan presiden Amerika ke-35, John F Kennedy pada 3 November 1963. Siasatan kerajaan Amerika melalui Warren Comission mendapati seorang bekas tentera marin Amerika, Lee Harvey Oswald yang punya rekod berpaling tadah ke Soviet Union (Rusia) pada 1959 sebagai penembak – sniper yang membunuh Presiden Kennedy. Oswald menafikannya dan menyatakan beliau dijadikan kambing hitam dalam konspirasi pembunuhan tersebut.

Filem JFK merupakan usaha sinematik Stone membongkar teori konspirasi melibatkan Presiden Lyndon B Johnson (1908-1973) dalam kes pembunuhan Kennedy ini. Johnson adalah Timbalan Presiden Amerika ketika Kennnedy dibunuh dan Johnson seterusnya menggantikan  Kennedy sebagai Presiden Amerika ke-36.

Untuk informasi generasi muda sekarang, tanah rancangan Felda L.B. Johnson, Negeri Sembilan mendapat namanya sempena lawatan Presiden Lyndon B. Johnson ke kampung itu pada 1966.

Filem-filem lain arahan Stone melibatkan tokoh-tokoh presiden Amerika adalah Nixon (1995) dan W. (2008). Kedua filem ini merupakan filem genre biografi.

Watak Presiden Nixon diperankan oleh pelakon tersohor, Sir Anthony Hopkins. Untuk filem W. berdasarkan secara longgar kisah hidup Presiden George W Bush, watak ini diperankan oleh Jush Brolin.

Kedua filem ini mengisahkan kehidupan presiden Amerika yang lebih peribadi sifatnya berbanding dengan apa diketahui umum lewat laporan media. Contohnya, ketagihan arak oleh Bush dan hubungan tegang antara Bush Senior dengan Bush Junior dalam menangani isu serangan dan penaklukan Iraq pada 2003.

Filem terkini Stone yang melibatkan tokoh dunia ialah filem Snowden yang bakal ditayangkan tahun ini. Filem ini mengisahkan Edward Snowden, rakyat Amerika merupakan pakar komputer yang membocorkan informasi sulit dan rahsia NSA (National Security Agency) kepada akhbar The Guardian pada 2013.

Sememangnya, Stone seorang pengarah filem paling banyak menghasilkan filem berkaitan politik dan tokoh-tokoh politik.

Aku terfikir jika aku berpeluang menghasilkan filem melibatkan tokoh politik seperti dihasilkan oleh Oliver Stone, siapakah tokoh politik pilihanku? Ada dua – Tok Guru Nik Aziz dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Insya-ALLAH.