MENUNTUT ilmu bukan mudah tetapi tidak juga susah, sekiranya kita mempunyai kesungguhan, kesabaran dan sanggup berkorban. Jika tidak bersungguh-sungguh, ia menjadi hangat-hangat tahi ayam.

Ia juga memerlukan pengor-banan yang tinggi terutama bagi mereka yang sudah mempunyai karier dan keluarga; bukan senang membahagikan masa menuntut ilmu dan melunaskan tanggungjawab terhadap keluarga. Pengorbanan dan sokongan ahli keluarga juga sangat penting.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud, “...bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berilmu jika kamu tidak mengetahuinya.” (Surah An-Nahl, ayat 43 dan Surah Al-Anbiya, ayat 7).

Anas bin Malik RA berkata Rasulullah SAW bersabda, “Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap Muslim.” (Hadis riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majjah).

Bagi mereka yang baru memeluk Islam, amatlah penting untuk menuntut ilmu agama. Islam bukan sekadar agama ritual tetapi ia adalah cara hidup.

Dalam Islam, setiap perbuatan, termasuk menuntut ilmu, meru-pakan ibadat, sekiranya diniatkan sebagai ibadat dan dilakukan dengan cara yang sesuai serta tidak melanggar syariat.

Banyak kelas pengajian fardu ain juga kursus-kursus pendek seperti khemah ibadat dan sebagainya ditawarkan oleh Jabatan Agama, Majlis Agama Islam Negeri, masjid, surau dan NGO-NGO Islam.

Tiada lagi alasan untuk tidak belajar ilmu agama.

Tentu sekali, mereka yang memeluk Islam mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan, sosiobudaya, dan juga umur. Ada yang berumur 20-an dan sedang melanjutkan pelajaran di universiti, ada yang berumur 30-an dan sibuk dengan karier, ada juga yang berusia 40-an dan bukan sahaja sibuk dengan karier tetapi keluarga dan anak-anak juga.

Begitu juga, terdapat mereka yang sudah lanjut umurnya ketika menerima Islam.

Sebaliknya pula, ada yang kembali kepada Islam ketika remaja dan masih bersekolah.

Mereka umumnya mempunyai semangat dan keinginan yang tinggi untuk belajar tentang Islam.

Namun, kadangkala masa tidak menyebelahi mereka. Ada yang perlu bekerja pada hujung minggu ketika kelas atau kursus diadakan. Ada yang terpaksa bekerja hingga lewat malam dan tiada masa untuk mengikuti kelas selepas waktu kerja. Bagaimanakah menyelesaikan masalah ini?

Sebenarnya, ada alternatif. Dengan ledakan teknologi maklumat dan internet, mereka boleh memilih pendidikan dalam talian yang semakin popular.

Kelas dalam talian memberikan lebih peluang dan fleksibiliti bagi pelajar untuk merancang masa belajar.

Pelajar juga tidak perlu berulang-alik ke kampus setiap hari; ini menjimatkan masa. Mereka boleh belajar di mana-mana sahaja yang mereka mahu.

Pendidikan dalam talian ialah pilihan yang sesuai bagi mereka yang perlu mengimbangi komitmen terhadap kerja dan keluarga.

Kos untuk belajar dalam talian juga biasanya lebih murah berbanding pengajian konvensional. Salah seorang staf Macma Kelantan, Rasyidah Kang, kini sedang mengikuti Sarjana Muda Pengajian Islam (Pengurusan Islam) dengan Kepujian di Open University Malaysia (OUM) Kelantan yang bertempat di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu.

Kos pengajian beliau untuk satu semester hanya seribu lebih. Pengajiannya dijangka tamat selepas 4 tahun 1 bulan.

Beliau masih bekerja seperti biasa dan belajar mengikut masa sendiri; tiada masalah, selagi mana tugasan diserahkan mengikut masa yang ditetapkan.

OUM turut menawarkan diskaun yuran sebanyak 50 peratus untuk warga emas (60 tahun ke atas) dan golongan OKU.

Diskaun ini adalah bagi semua peringkat pengajian; diploma, sarjana muda, dan sarjana.

Hari ini, semakin banyak institusi yang menawarkan pengajian dalam talian.

Saya yakin setiap satu mempunyai keistimewaan dan kelebihan tersendiri dan saling bersaing untuk menawarkan program pengajian yang menarik, sesuai dengan keperluan dan trend semasa.

Selain pengajian dalam talian, terdapat juga pilihan yang lebih kasual seperti ceramah dan kursus yang dianjurkan oleh pelbagai pihak termasuk surau atau masjid.

 Kebanyakannya juga percuma walaupun ada yang mengenakan bayaran yang biasanya tidak terlalu mahal. Selain itu, kini banyak program ilmiah atau kuliah yang disiarkan di televisyen mahupun radio.     

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Begitulah kata pepatah lama.

Semoga kita semua diberi hidayah dan kekuatan untuk terus menuntut ilmu hingga ke akhir hayat.

* Penulis Pengerusi macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan