TAHNIAH kepada semua penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah sempena sambutan tahun baharu 1439H. Syabas kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bukan sahaja mengiktiraf seorang tokoh tetapi 15 tokoh pendakwah termasuk Pengerusi Macma Melaka dan Terengganu.

Bagi Kelantan pula, Tokoh Maal Hijrah Saudara Kita telah dimenangi oleh Muhammad Tan yang berusia 55 tahun. Mungkin kesemua yang menerima anugerah di Pulau Pinang tidak asing lagi dalam dunia dakwah kerana mereka sudah dikenali ramai tetapi mungkin ramai yang tertanya-tanya siapakah pula Muhammad Tan ini?

Saudara Muhammad Tan bukanlah pendakwah bertaraf selebriti dan bukan juga pemegang segulung ijazah apatah lagi mempunyai PhD. Beliau merupakan seorang buruh kasar dan mahir dalam pemasangan jubin. Beliau juga pernah bekerja sebagai pemandu dan jurujual alat ganti motosikal. Muhammad Tan memilih pekerjaan sebagai buruh kerana bagi beliau dengan cara itu beliau boleh mengeluarkan peluh tanpa perlu ke gimnasium atau bersukan selepas waktu kerja.

Jadi, apa yang hebatnya insan yang bergelar Muhammad Tan yang dulunya dikenali sebagai Tan Tien Khau ini? Beliau yang berasal dari Kampung Kulim, Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan memeluk Islam 40 tahun yang lepas dan belajar mengenai Islam dengan lebih lanjut melalui kelas-kelas anjuran Perkim Kelantan.

 Walaupun ketika baru memeluk Islam, beliau telah pun giat dalam segala aktiviti Perkim serta mengambil berat tentang kebajikan mereka yang turut sama berhijrah kembali kepada agama Islam. Dalam kata lain, Muhammad Tan sudah aktif berdakwah dan melakukan kerja kebajikan buat sekian lama walaupun dalam keterhadan ilmu mahupun wang.

Mungkin ramai antara kita yang akan menunggu untuk dapat pekerjaan yang baik terlebih dahulu, dengan gaji yang agak besar, baru hendak bersedekah atau membuat kerja kebajikan. Tetapi setelah itu, ramai yang akan sibuk dengan kerja, jadi  tunggu pencen pula baru benar-benar hendak buat kerja kebajikan mahupun ke masjid untuk solat berjemaah. Bagaimanapun, berapa ramaikah antara kita yang akan kekal sihat ataupun masih bernyawa sampai ke umur pencen? 

Tiada siapa yang tahu bila ajalnya akan tiba mahupun apa keadaannya pada esok hari atau masa akan datang. Ada yang mendapat serangan jantung dan ada juga yang diserang angin ahmar ketika usia muda. Ada pula yang ditimpa kecelakaan jalan raya ataupun kemalangan di tempat kerja. Tidak kurang juga yang menghidap pelbagai penyakit yang membataskan pergerakan mereka. Apa yang sangat malang adalah sekiranya kita meninggal dunia tanpa sempat mengumpul bekal untuk menghadapi alam barzakh dan alam akhirat yang kekal kelak.

Hakikatnya, tiada siapa yang boleh meramal masa depan dan kematian itu tidak semestinya mempunyai tanda. Malah, ia mungkin akan datang dengan sangat mengejut. Firman ALLAH SWT dalam Surah Yunus ayat 49 bermaksud, "Apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak (pula) mendahulukan(nya).”

Kerana hakikat inilah Muham-mad Tan tidak menunggu untuk menjadi kaya atau menjadi ilmuwan terlebih dahulu sebelum melakukan kerja dakwah serta kerja kebajikan. Beliau merupakan pelopor kelas fardu ain untuk saudara baharu yang pada mulanya diadakan di Balai Islam Lundang, kemudiannya berpindah ke Kompleks Islam Panji dan kini di Masjid Muhammadi, Kota Bharu.

Muhammad Tan juga merupakan bilal bagi Surau Padang Jeman, Salor yang berdekatan dengan rumah beliau. Jika imam tidak sihat atau berada di luar kawasan, beliaulah yang akan mengambil tempat sebagai imam di surau tersebut. Jika terdapat sebarang kerosakan atau surau memerlukan penambahbaikan, beliau juga yang akan membaiki kerosakan terbabit dan membuat apa-apa penambahbaikan secara percuma, sesuai dengan pengalaman dan kepakaran beliau. 

Saya pasti ramai juga insan seperti Muhammad Tan di luar sana. Semangat dan kesungguhan mereka membantu insan lain kembali kepada agama ALLAH dan juga berbuat kebajikan, walaupun tidak hidup dalam kemewahan mahupun mempunyai sebarang gelaran, perlu kita contohi.

Kepada saudaraku Muhammad Tan, tahniah! Semoga anugerah yang diterima menyemarakkan lagi semangat untuk terus menabur bakti.