RAKYAT Kelantan sewajarnya bersyukur kerana tinggal di sebuah negeri yang cantik secara semula jadi, kaya dengan keindahan alam.

Di Kelantan terdapatnya air terjun Jelawang di Gunung Stong yang merupakan air terjun tertinggi di Asia Tenggara.

Kelantan juga memiliki pantai-pantai yang indah seperti Pantai Sri Tujuh di Tumpat, Pantai Cahaya Bulan di Kota Bharu, Pantai Irama di Bachok dan Pantai Bisikan Bayu di Pasir Putih.

Pantai Senok yang terletak di Tawang, Bachok telah menjadi popular apabila tular di media sosial. Keindahan dan susunan pohon ru di Pantai Senok tidak ubah seperti susunan pokok di Pulau Nami, Korea Selatan.

Selain deretan pohon ru di sepanjang pantai, pengunjung juga dapat menikmati keindahan laut yang membiru. Sangat sesuai sebagai pusat rekreasi keluarga serta tempat untuk menenangkan fikiran pada hujung minggu selepas penat bekerja.

Sebelum “Pulau Nami” Kelantan ini tular di media sosial, ia telah menjadi lokasi utama sesi fotografi perkahwinan sejak beberapa tahun lepas.

Jika kita berkunjung ke sana pada hujung minggu, akan kelihatan pasangan-pasangan pengantin baharu memenuhi pantai tersebut untuk memotret gambar kenangan.

Bagaimanapun, sejak Pantai Senok semakin dikenali dan jumlah pengunjung kian bertambah, tempat yang indah ini menjadi kotor dan tidak terurus.

Majlis Daerah Bachok (MDB) telah menyediakan tong sampah di kawasan Pantai Senok dan mengutip sampah secara berkala. Pertubuhan Kebajikan Perantau Bachok turut membekalkan beberapa tong sampah untuk kemudahan pengunjung. Namun, masalah sampah tetap belum bernoktah.

Salah satu punca utama ialah sikap. Terdapat pengunjung yang bersikap pengotor dan suka ambil mudah.

Hisap rokok dan buang puntung rokok merata-rata. Seolah-olah puntung rokok itu akan ghaib dengan sendirinya.

Buang bungkusan minuman dan makanan merata-rata. Malah, ada yang tinggalkan sampah begitu sahaja.

Adakah mereka ingat sampah tersebut akan menjadi kompos selepas beberapa hari?

Ya, kita perlu bersangka baik. Mungkin yang buat sampah tersebut bukan rakyat Kelantan; mungkin pelancong dari Zimbabwe. Bukankah rakyat Kelantan semuanya Islamik dan bangga dengan gelaran Kelantan Serambi Makkah?

Adalah tidak logik bagi mereka yang kuat pegangan Islam mempunyai sikap pengotor. Maka, tidak salah untuk kita menuding jari kepada pihak luar, bukan?

Selain pengunjung, ada juga segelintir peniaga (kemungkinan juga orang luar) yang hanya tahu mengejar keuntungan tanpa memikirkan soal kebersihan.

Tapak-tapak jualan penuh dengan sampah-sarap setelah mereka tamat menjalankan perniagaan pada satu-satu hari. Tidak harianlah kita dilanda masalah penyakit seperti denggi dan kepialu.

Sememangnya amat menyedihkan apabila pantai yang cantik secara semula jadi ini menjadi hodoh dan kotor akibat sikap manusia yang tidak bertanggungjawab.

Kurniaan ALLAH yang sepatutnya menjadi tempat yang mendamaikan sudah tidak mampu lagi menenangkan fikiran dengan sampah-sarap di sini, sana. Sebaliknya, bertambah stres melihat keadaan yang kotor.

Sebenarnya, sudah banyak kempen kebersihan dan program gotong-royong diadakan di Pantai Senok oleh beberapa NGO dan kelab. Antaranya, MAYC Kelantan. Pengerusi MAYC Kelantan, Ir. Meor Shamsir, telah mengadakan program gotong-royong di Pantai Senok pada lapan kali Sabtu yang telah mendapat liputan RTM melalui rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Setiap kali program gotong-royong, berpuluh-puluh plastik berwarna hitam yang dipenuhi sampah-sarap akan terkumpul dan dibuang ke tempat pembuangan sampah.

 Menurut Ir. Meor, jika kita tidak jaga pantai kita, tiada orang lain yang akan jaga.

“Apabila seseorang berjalan atas jalan, dia menjumpai ranting berduri lalu diambilnya, dan dia bersyukur kepada ALLAH, dan ALLAH Mengampunkannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” [Surah al-Zalzalah : ayat 7-9]

Setiap manusia akan dihisab atas apa sahaja perbuatan baik dan buruk semasa di muka bumi ini tanpa tertinggal walau sehalus zarah sekalipun, termasuklah membuang sampah merata-rata.

 Oleh itu, sama-samalah kita memperbanyakkan kebaikan. Semoga keindahan Pantai Senok dan kawasan-kawasan lain akan sentiasa terjaga selepas ini.

* Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan