SAYA cukup tersentuh apabila diingatkan oleh seorang sahabat tentang murka manusia dan murka ALLAH.

Murka bermaksud sangat marah. Lumrah manusia sememangnya tidak suka atau takut dimarahi, lebih-lebih lagi oleh mereka yang lebih berkuasa atau lebih besar. Malangnya, ketidaksukaan atau ketakutan ini acap kali mengatasi kegerunan kita terhadap murka ALLAH.

Contohnya, sebagai orang Islam, adakah kita reda melihat maksiat berleluasa dan pusat-pusat judi serta hiburan seperti disko, bar serta kelab malam yang menjual arak bagai cendawan tumbuh selepas hujan? Rakyat biasa mungkin mempunyai kemampuan yang terbatas untuk melakukan sesuatu yang efektif, jika boleh sekalipun.

Tetapi, sekiranya kita telah dipilih sebagai wakil yang membawa suara rakyat ke Parlimen atau Dun, terutamanya jika berada di pihak yang berkuasa, apakah kita juga tidak mampu untuk mengurangkan kemaksiatan tersebut, atau mempunyai kemampuan yang sama seperti rakyat biasa?

Ada pihak yang berkata pusat hiburan sedemikian membantu meningkatkan ekonomi negara serta memberi peluang pekerjaan kepada rakyat. Bukankah banyak lagi cara memesatkan ekonomi tanpa mengundang kemurkaan ALLAH? Tidakkah itu lebih baik dan selamat? Mungkin golongan yang membantah akan dimurkai dan dijadikan musuh oleh pihak yang berkuasa tetapi adakah kita lebih takut dengan murka manusia berbanding murka ALLAH?

Dalam pada itu, ada pula yang mengambil risiko diberhentikan kerja kerana memilih untuk menutup aurat. Walaupun sedar majikan berkuasa untuk memberhentikan khidmat mereka, golongan ini nekad kerana yakin perintah dan murka ALLAH mengatasi perintah dan murka manusia.

Rasulullah SAW telah bersabda, “Barang siapa antara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika sekiranya ia tiada berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya. Maka sekiranya ia tiada juga berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemahnya iman.” (Riwayat Muslim)

Hadis di atas menunjukkan cara-cara seseorang mengubah kemungkaran yang berlaku di sekelilingnya. Bagi yang berkemampuan atau dalam kalangan mereka yang memegang kuasa, maka ubahlah kemungkaran yang berlaku dengan kuasa tersebut. Jika tidak mampu, kemungkinan bukan dalam kalangan mereka yang memegang kuasa, maka ubahlah dengan cadangan dan teguran yang berhikmah, bukan dengan bertengkar, menengking, menghina atau mencaci.

Kepada mereka yang berkuasa ke atas penerbangan negara, cubalah lakukan sesuatu agar pramugari yang beragama Islam dibenarkan untuk memakai tudung semasa bekerja. Keluarkanlah arak daripada menu penerbangan. Sesungguhnya meminum arak itu adalah satu daripada tujuh dosa besar. Kasihanilah pekerja Islam yang terpaksa menghidangkannya dan turut terpalit dengan dosa tersebut. Lakukanlah sesuatu agar keseluruhan operasi syarikat bergerak ke arah pematuhan syariah secara menyeluruh.

Hidup di dunia ini adalah sementara. Tujuan hidup adalah untuk mencari reda ALLAH. Yakinlah sekiranya semua itu dilakukan, syarikat penerbangan negara akan kembali gemilang dan terus cemerlang, insya-ALLAH.

Setiap manusia, tidak kira pembesar, wakil rakyat, penguasa mahupun golongan marhaen, akan merasa sakit, menjadi tua dan meninggal dunia, apabila tiba masanya. Sangatlah tidak bijak untuk melebihkan cinta dan reda manusia daripada cinta dan reda ALLAH yang kepada-Nya jua kita dikembalikan. Maka, berhati-hati dan pilihlah antara keduanya dengan bijak.

Kepada mereka yang memegang kuasa, lakukanlah sesuatu agar maksiat dapat dikurangkan di negara kita. Carilah reda ALLAH walaupun manusia murka, nescaya ALLAH bersama kamu. Jika kamu mendambakan reda manusia dan mengabaikan reda ALLAH sehingga mendatangkan kemurkaan-Nya, maka tunggu dan bersedialah kamu untuk bala yang bakal menimpa.

Firman ALLAH bermaksud, “Serulah kepada agama Tuhan mu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara sebaik-baiknya, sesungguhnya Tuhan mu Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang sesat dari jalannya dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah Al-Nahl, ayat 125)

Terima kasih sekali lagi kepada sahabat saya yang mengingatkan saya tentang murka manusia dan murka ALLAH. Semoga dipermudahkan segala urusan demi mencari reda ALLAH.