RAMAI yang teruja apabila mendengar berita mengenai sembilan kanak-kanak Tionghoa yang menyertai program Khatan Perdana di Pejabat Pilihan Raya BN, Dun Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan. Program tersebut disertai seramai 80 kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun.

Kanak- kanak itu turut ditemani ibu bapa untuk bersama-sama pada hari bersejarah dalam hidup mereka itu. Alhamdulillah, semakin ramai yang menyedari kebaikan dan kelebihan berkhatan, termasuk mereka yang bukan Islam. Sebenarnya, berkhatan tidak pelik bagi masyarakat Cina di Kelantan.

Masyarakat Cina Peranakan Kelantan di Kampung Pasir Parit telah menjadikan amalan berkhatan sebagai tradisi turun-temurun bermula daripada nenek moyang mereka yang menetap di Pasir Mas puluhan tahun yang lalu.

Pada 2012, akhbar Sinar Harian juga pernah melaporkan tentang 11 remaja Cina berusia lapan hingga 18 tahun yang turut berkhatan beramai-ramai. Bulan lepas, sejurus bermulanya cuti sekolah, tiga beradik Cina berkhatan serentak di Jitra, Kedah melalui program anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Mahsuri.

Berkhatan adalah memotong kulup, iaitu kulit pada hujung kemaluan lelaki. Daripada sudut sejarah, sesetengah ulama berpendapat bahawa berkhatan bermula dengan Nabi Adam dan ada juga yang berpendapat manusia pertama yang berkhatan ialah Nabi Ibrahim.

Yang pasti, berkhatan telah diamalkan sejak ribuan tahun lalu kerana wujud ukiran pada piramid di Mesir.

Berkhatan ialah amalan yang disyariatkan dan amat dituntut dalam Islam dan ia menjadi amalan para nabi.

Dalam Mazhab Syafie, hukum berkhatan adalah wajib, bagi lelaki dan juga perempuan manakala bagi Mazhab Hanafi, berkhatan hukumnya sunat bagi kedua-dua lelaki dan perempuan. Dalam Mazhab Hambali pula, Imam Ahmad berpandangan ia hanya wajib bagi lelaki dan sunat ke atas perempuan.

Wajib bermaksud jika dilakukan mendapat pahala dan sekiranya tidak dilakukan, mendapat dosa. Sunat pula bermaksud bila dilakukan mendapat pahala tetapi tidaklah berdosa sekiranya ditinggalkan.  

Dalam budaya masyarakat Arab dan Yahudi, berkhatan dilakukan ketika bayi lagi. Bagi masyarakat Melayu pula, ia biasanya dilakukan sewaktu kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun.

Kebanyakan ulama berpendapat khatan wajar dilakukan ketika budak lelaki meningkat umur baligh agar mereka bersih daripada najis dan kekotoran sebelum mengerjakan solat lima waktu.

Daripada segi kesihatan, berkhatan dapat menjamin kebersihan dan kesucian. Apabila tidak berkhatan, kotoran akan terkumpul di antara kulup dan kepala zakar. Kotoran yang dipanggil ‘smegma’ ini boleh menyebabkan jangkitan kuman. Kajian sains yang telah dijalankan membuktikan amalan berkhatan mempunyai banyak faedah untuk kesihatan.

Antaranya, kadar kanser prostat didapati jauh lebih rendah dalam komuniti yang mengamalkan berkhatan seperti Muslim dan Yahudi. Ia juga mampu mengurangkan risiko kanser serviks (pangkal rahim) kepada wanita.

Telah dibuktikan bahawa kuman yang dinamakan Human Papilloma Virus (HPV) adalah antara pencetus kanser serviks. Kuman ini didapati berlindung di bawah kulit hujung zakar dan dipindahkan kepada wanita semasa persetubuhan. Kajian terbaharu juga menunjukkan kadar penyakit kelamin, khususnya sifilis, adalah rendah dalam kalangan lelaki yang berkhatan.

Berdasarkan kajian Cochrane Meta Analysis di Afrika pada 2007, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mencadangkan galakan amalan berkhatan sebagai salah satu cara atau program mencegah HIV. Hasil kajian tersebut menunjukkan berkhatan boleh mengurangkan risiko jangkitan HIV dalam kalangan lelaki yang aktif secara seksual dari 38 hingga 66 peratus dalam tempoh 24 bulan.

Kajian lain membuktikan bahawa bayi yang berkhatan mempunyai risiko jangkitan kuman pada salur kencing 10 kali lebih rendah berbanding bayi yang tidak berkhatan. Jangkitan kuman salur kencing adalah serius. Tanpa rawatan segera, ia akan merosakkan fungsi buah pinggang dan mengakibatkan kuman tersebar ke seluruh tisu badan.

Kesimpulannya, berkhatan amat digalakkan kerana terdapat pelbagai kebaikan yang telah dibuktikan melalui kajian saintifik.

Walaupun ia sinonim dengan Melayu dan Islam, penglibatan kanak-kanak Cina, mahupun kaum lain yang bukan Islam, secara tidak langsung juga boleh merapatkan hubungan antara kaum dan menjadi antara wadah menyatupadukan pelbagai kaum di Malaysia.

Jelas sekali hikmah berkhatan sangat luas dan besar, tidak terhad kepada aspek fizikal individu semata-mata. Maka, ia seharusnya dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat.

*Johari Yap, Pengerusi Macma Kelantan & AJK Perkim Kelantan