JIKA dihimpun kesemua naskhah al-Quran di dunia ini dan dibakar kesemuanya, dan kesemua kilang yang menerbitkan al-Quran turut dimusnahkan, tiada masalah untuk umat Islam mendapatkan kembali al-Quran tanpa lebih atau kurang walau satu ayat.           

Al-Quran yang terdiri daripada 114 surah yang dibahagikan kepada 30 juzuk merupakan satu-satunya kitab suci yang telah dihafaz secara keseluruhan. Inilah kelebihan umat baginda Rasulullah SAW.

Al-Quran adalah satu-satunya kitab suci yang dijamin keaslian dan kemurniannya oleh ALLAH SWT sehingga hari kiamat.

Ratusan ribu umat Islam telah menghafal seluruh isi al-Quran dan jutaan umat Islam menghafal sebahagian daripadanya (beberapa juzuk).

Penghafazan al-Quran ini juga adalah antara rahmat daripada ALLAH SWT.

“Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat mengubah kalimat-kalimat-Nya dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” - Surah al-An’aam, ayat 115.

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” - Surah al-Hijr, ayat 9.

Walaupun al-Quran telah diwahyukan ALLAH kepada Nabi Muhammad SAW melalui malaikat Jibrail lebih 14 abad yang lalu, isi al-Quran tetap sama sehingga kini tanpa kurang atau lebih.

Pendidikan al-Quran merupakan salah satu bidang teras dalam mendalami agama Islam.

Secara  umumnya, pendidikan al-Quran bermula dengan pembelajaran paling asas tentang al-Quran seperti mengenal huruf hijaiyah dan mengeja, membaca dan mempelajari hukum tajwid, serta khatam al-Quran.

Pendidikan tahfiz al-Quran merupakan salah satu daripada cabang  pendidikan al-Quran.

Antara sebab al-Quran terpelihara daripada dipalsukan adalah dengan adanya penghafaz al-Quran yang dikenali sebagai hafiz atau hafizah. Mereka adalah hasil didikan sekolah-sekolah tahfiz.

Kini terdapat juga Tahfiz Sains yang berjaya menghasilkan para doktor, jurutera, majistret, dan peguam yang juga penghafaz al-Quran.

Pada 22 dan 23 April 2017, adik Jad Haris Sabaruddin dari Maahad Tahfiz Tun Abdul Rahman Yakub telah memenangi pingat emas untuk Level 4 pada Pertandingan Matematik Dunia yang berlangsung di Manila, Filipina.

Tahniah adik Jad dan peserta yang lain. Siapa kata pelajar tahfiz tidak mampu menguasai bidang akademik?

Dengan niat dan formula yang betul berbekalkan doa, lepasan maahad tahfiz mampu menjadi terbaik di peringkat global.

Adik Jad telah menjadi kebanggaan anak Sarawak dan rakyat Malaysia.

Kerajaan juga semakin mengambil berat tentang pendidikan tahfiz. Pada 2016, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah merangka Dasar Pendidikan Tahfiz Negara bagi memperkasakan institusi pendidikan tahfiz di seluruh negara.

Baru-baru ini, kerajaan telah mengagihkan peruntukan berjumlah RM80 juta kepada lebih 800 sekolah pondok berdaftar, Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan institusi tahfiz berdaftar di seluruh negara.

Majlis penyerahan replika cek kepada wakil-wakil negeri penerima peruntukan telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana.

Sebanyak 129 sekolah pondok, 99 SMAR dan 591 institusi tahfiz berdaftar menerima manfaat daripada peruntukan tersebut.

Perdana Menteri turut mengumumkan insentif sebanyak RM10,000 yang akan diberikan kepada institusi-institusi tahfiz yang berdaftar dengan kerajaan.

Ini menggambarkan hasrat murni kerajaan untuk memastikan pendidikan Islam diperkasa, diperkukuh dan dipertingkatkan lagi.

Terdapat sekolah tahfiz yang menggunakan rumah persendirian yang diwakafkan untuk dijadikan maahad tahfiz; fasiliti di maahad sebegini mungkin terhad di samping persekitaran yang juga mungkin kurang kondusif.

Maka, peruntukan sebegini sedikit sebanyak dapat membantu menyenggara premis maahad terbabit.

Dengan usaha sebegini yang berterusan, diharapkan pembangunan pendidikan tahfiz akan menjadi lebih tersusun dan tiada lagi sekolah tahfiz yang tidak berdaftar.

Walaupun ada yang mempertikai dan menyalahkan sekolah tahfiz terutama apabila ada kejadian yang tidak diingini seperti yang telah tular baru-baru ini, sekolah pengajian tahfiz perlu terus diperbaik agar menjadi institusi yang mampu terus melahirkan lebih ramai cerdik pandai yang juga penghafaz al-Quran.

Inilah sebenarnya formula terbaik dalam usaha membentuk insan cemerlang yang seimbang daripada sudut duniawi dan ukhrawi kerana terdapat keberkatan dalam penghafazan al-Quran itu sendiri.