BARU-BARU ini saya ada pertemuan dengan Dr Mohamad Najib Mat Pa dan Dr Tengku Ahmad Damitri Tengku Din, keduanya pensyarah USM.

Mereka juga merupakan orang kuat Koperasi Amal Medik Malaysia Berhad, sebuah koperasi di bawah Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) yang baru setahun membuka pusat dialisis di Bachok, Kelantan. Antara topik perbualan kami adalah peningkatan keperluan khidmat dialisis.

Kami berbincang di kedai kopi. Berjumpa di kedai kopi sambil menghirup teh atau nescafe tarik adalah antara amalan rakyat Ma-aysia. Acap kali berlaku walaupun diminta air kurang manis, air yang sampai tetap manis 'meleting', bak kata orang Kelantan.

Setelah dibuang separuh dan ditambah air panas, baru rasanya boleh tahan. Begitulah cita rasa orang kita, semuanya manis-manis belaka.

Kandungan gula dalam darah yang tinggi lama-kelamaan akan merosakkan buah pinggang dan menyebabkan keadaan yang dipanggil nefropati diabetes yang merupakan kes terbanyak dalam keseluruhan bilangan kes kegagalan buah pinggang. Satu per tiga (1/3) pesakit diabetes atau kencing manis mengalami nefropati diabetes.

Selain diabetes, tekanan darah yang tinggi atau hipertensi meng-akibatkan tekanan kuat pada salur darah yang menolak dinding arteri. Tekanan darah yang tinggi juga boleh menyebabkan kerosakan salur darah dan fungsi penapisan buah pinggang.

Kencing manis dan tekanan darah yang tinggi yang tidak terkawal adalah antara punca utama kerosakan buah pinggang. Jika buah pinggang rosak, pesakit terpaksa bergantung pada mesin dialisis sepanjang hayat.

Selain aktiviti harian yang terbatas, pesakit buah pinggang juga perlu menelan ubat-ubatan dan menjaga pemakanan. Maka, bukankah lebih elok kita kawal pemakanan semasa masih sihat?

Buah pinggang bertugas menapis darah dan membuang bahan toksik, sisa buangan dan air berlebihan daripada badan. Seki-ranya buah pinggang telah rosak, fungsi buah pinggang terpaksa diambil alih oleh mesin dialisis.

Dalam satu laporan akhbar pada 2017, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, pihaknya menganggarkan pesakit buah pinggang tahap satu hingga lima mencecah 400,000 orang. Menurutnya lagi, 40,000 daripada jumlah itu merupakan pesakit buah pinggang tahap lima dan memer-lukan rawatan dialisis.

Dr Hilmi sebelum ini juga pernah mendedahkan kebanyakan kes kegagalan buah pinggang dalam kalangan rakyat Malaysia berpunca daripada kencing manis. Malaysia mempunyai 3.5 juta penghidap kencing manis.

Jumlah rakyat Malaysia yang mengalami masalah buah pinggang kini semakin meningkat dengan 6,000 kes baharu dicatatkan setiap tahun. Mereka yang mempunyai sejarah atau ahli keluarga yang menghidap penyakit kencing manis dan tekanan darah yang tinggi berisiko tinggi mendapat masalah kegagalan buah pinggang.

Mendiang nenek saya juga merupakan penghidap diabetes. Selepas mengalami kemalangan motosikal, luka pada kakinya tidak sembuh dan menjadi semakin serius. Untuk mengelak jangkitan kuman dan komplikasi lain, doktor terpaksa memotong kakinya hingga ke paras lutut.

Setelah itu, buah pinggangnya pula gagal berfungsi dengan baik dan terpaksa menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

Setiap rawatan dialisis bernilai RM200 dan mengambil masa selama empat jam. Selain itu, keluarga perlu juga menyewa kereta untuk menghantar dan menjemputnya dari pusat dialisis.

Sekiranya perlu ubat untuk pekatkan darah, perlu lagi bayar RM80 untuk satu tiub. Mujur ada pak cik yang bekerja  di sektor awam, maka kos ditanggung oleh kerajaan. Kos dialisis serta kos ubat-ubatan untuk sebulan hampir RM3,000. Bayangkan kos untuk setahun.

Setiap tahun, kerajaan mempe-runtukkan tidak kurang daripada RM1.6 bilion bagi membiayai kos rawatan pesakit buah pinggang tahap lima di Malaysia. Jumlah tersebut ialah subsidi yang tertinggi dalam peruntukan perbelanjaan kesihatan berbanding rawatan penyakit yang tidak berjangkit yang lain seperti masalah jantung dan tekanan darah tinggi.

Syabas juga kepada Lembaga Zakat Selangor yang telah menya-lurkan kira-kira RM24 juta bantuan zakat bagi rawatan dialisis kepada 998 pesakit buah pinggang dengan menyalurkan terus bayaran kos rawatan kepada pusat dialisis.

Berdasarkan statistik dan melihat kepada pengalaman pesakit buah pinggang, seyogia kita kurangkan gula dalam minuman dan makanan, tambahkan manis dalam senyuman. Amalkan pemakanan dan gaya hidup yang sihat untuk kehidupan yang lebih sejahtera dan bermakna.

**Penulis ialah calon PhD (Prostesis Kraniofasial) Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia Kampus Kubang Kerian, Kota Bharu