MASYARAKAT Cina di Kelantan telah wujud sejak abad ke-17 Masihi lagi. Malah, ada yang tiba di Kelantan lebih awal daripada kedatangan orang Cina pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ini berdasarkan penemuan patung dan tokong yang berusia 600 tahun atau lebih di Kampung Pulai, Gua Musang yang berasal daripada Dinasti Ming.

Oleh kerana sudah lama bergaul dengan masyarakat Melayu tempatan, hubungan antara dua kaum ini begitu akrab dan mereka juga gemar memakai kain sarung dan kain pelekat seperti masyarakat Melayu. Begitu juga daripada segi bahasa dan pemakanan; bahasa Kelantan masyarakat Cina Kelantan sangat pekat dan lancar. Ada antara mereka dipanggil dengan nama Melayu.

Jika masyarakat Cina di Pantai Barat lebih senang dengan nama Inggeris seperti David Ong atau Calvin Ng, masyarakat Cina di Kelantan pula mempunyai nama panggilan Melayu walaupun bukan beragama Islam. Mereka tidak kekok malah selesa dengan nama Melayu tersebut.

Salah seorang sahabat saya bernama Lim Guan Seng yang merupakan pengerusi Pusat Integrasi Antara Kaum (Peka) Kelantan turut mempunyai nama Melayu. Sejak di bangku sekolah lagi, beliau dipanggil dengan nama Hashim oleh rakan-rakan yang sama bersekolah di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra, Kuala Krai terutama mereka yang bermain bola sepak dengan beliau.

Jika disebut Ah Seng, mungkin tiada siapa yang kenal kerana beliau lebih dikenali dengan nama Hashim. Jika terdapat dua orang bernama Hashim dalam satu-satu keadaan atau pada satu-satu masa, beliau akan dirujuk sebagai “Hashim Cina”.

Begitu jugalah jika kita berkunjung ke Kampung Temangan. Jika ditanya siapa saudara atau Encik Owi Kee Siang yang merupakan Penghulu Tanpa Mukim di sana, mungkin ramai yang tidak tahu, termasuklah masyarakat Cina. Ini kerana beliau lebih dikenali dengan nama Tok Ngulu Hassan. Masyarakat di sana lebih mengenali beliau dengan nama Hassan, bukannya Kee Siang.

Dr. Lim Swee Tin merupakan bekas Pensyarah Kesusasteraan Melayu UPM yang berasal dari Bachok, Kelantan. Beliau yang terkenal dengan puisi-puisi yang puitis juga lebih dikenali dengan nama Hassan oleh masyarakat di kampung asal beliau. Malah, bapa beliau juga dipanggil dengan nama Yusof dan mereka amat akrab dengan masyarakat Melayu sekampung.

Nama sebenar bapa beliau ialah Lim Swee Poh, dari suku Hokkien, manakala ibu beliau, Khe Utt Eh Di, berketurunan Siam. Walaupun berketurunan Cina, Dr. Lim Swee Tin amat menyukai budaya dan bahasa Melayu dan kini merupakan aktivis bahasa dan budaya Melayu. Beliau berharap agar tiada prasangka wujud antara kaum yang boleh mengakibatkan berlakunya perselisihan faham.

Wartawan Sinar Harian, Hazelin Liana, juga pernah menemu ramah Tan Soon Gin, 50, yang tinggal di Kampung Pengkalan Pasir, Pasir Mas untuk ruangan #Kitalah Malaysia. Walaupun berketurunan Cina, hubungan erat Tan Soon Gin dengan masyarakat Melayu di sana menyebabkan beliau tidak kisah diberikan nama Deris. Bapa beliau turut mempunyai nama Melayu iaitu Eleh, manakala bapa saudara beliau diberikan nama Yaakob.

Nama Melayu Deris beliau lebih popular berbanding nama asal termasuklah dalam kalangan masyarakat Cina di kampung tersebut. Walau bagaimanapun, jati diri beliau sebagai orang Cina masih menebal dan menjadi amalan kehidupannya seharian. Setiap kali tiba Tahun Baharu Cina, beliau akan menjemput rakan-rakan Melayu untuk turut sama memeriahkan perayaan tersebut. Begitu juga dengan Hari Raya Aidilfitri, beliau akan turut memeriahkan sambutan tersebut bersama sahabat Melayu.

Inilah uniknya Cina Kelantan yang juga dikenali sebagai Cina Peranakan Kelantan. Mereka tidak membezakan antara Melayu dan Cina. Jika ada gotong-royong atau kenduri-kendara, semua akan sama-sama menyingsing lengan dan membuat kerja. Mereka juga mengunjungi kedai kopi yang sama; tiada istilah kedai kopi Cina atau Melayu, mereka boleh masuk mana-mana kedai kopi untuk minum sambil berborak dan membincangkan bermacam-macam perkara.

Sifat toleransi dan meraikan budaya kaum lain ini merupakan antara resipi perpaduan antara Melayu dan Cina di Kelantan. Identiti kacuk Cina Kelantan ini merupakan antara contoh amalan toleransi yang terbaik. Semoga keharmonian ini berkekalan.

* Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan