BOLA sepak merupakan salah satu sukan yang paling popular di dunia. Lihat sahaja bilangan dan saiz stadium di seluruh dunia serta bilangan peminat yang memakai jersi pasukan bola sepak. Dengan jumlah pemain 22 orang dan sebiji bola di atas padang, sudah cukup untuk menarik beribu-ribu peminat ke stadium.

Dalam permainan bola sepak, hantaran yang baik bukan hanya mengenai teknik dan ketepatan tetapi juga pilihan untuk menghantar bola dengan cepat dan tepat. Sambil berlari atau menggelecek, pemain perlu berfikir dengan pantas sebelum memutuskan kepada siapa dan jenis hantaran yang perlu dibuat. Hantaran rendah lebih tepat, namun jika pemain lawan menghalang laluan, hantaran tinggi perlu dilakukan.

Dalam perkahwinan Islam di Malaysia pula, khususnya dalam kalangan kaum Melayu, terdapat mas kahwin dan hantaran perkahwinan. Mas kahwin adalah mahar yang disebut semasa akad nikah. Ia merupakan bayaran wajib daripada pengantin lelaki kepada pengantin perempuan dan jumlahnya telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam setiap negeri. Mas kahwin menjadi hak mutlak isteri manakala hantaran perkahwinan adalah wang hadiah daripada pihak lelaki kepada pihak perempuan. Hantaran perkahwinan bukannya wajib tetapi sudah menjadi satu kemestian dalam adat resam Melayu.

Baru-baru ini, telah viral kisah pengantin lelaki ditumbuk diikuti dengan pergaduhan pihak pengantin lelaki dan perempuan, gara-gara wang hantaran yang tidak mencukupi. Penulis tidak ingin mengulas lanjut mengenai kejadian tersebut, cuma ia menimbulkan kerunsingan dengan kadar hantaran yang semakin meningkat di negara ini.

Bayangkan, RM15,000 untuk hantaran sahaja, belum masuk kos majlis yang merangkumi sewa kerusi meja; upah katerer, sekiranya tidak masak sendiri; pelamin; baju; bunga telur; dan hadiah tetamu. Jika majlis diadakan di hotel, semakin tinggilah kosnya. Tidak kurang juga yang membayar upah untuk pihak-pihak tertentu seperti pembaca doa, band, malah kumpulan penari. Jika dijumlahkan dari bertunang, keseluruhan belanja mungkin mencecah ratusan ribu ringgit. Satu jumlah yang besar yang mungkin boleh digunakan untuk membeli sebuah rumah kos rendah.

Wang hantaran sebenarnya mempunyai hikmahnya tersendiri. Ia sebagai hadiah dan tanda kasih sayang kepada isteri. Bukan sahaja di Malaysia, malahan budaya Arab juga menetapkan hantaran yang tinggi; ada yang berpuluh kali ganda dari budaya Melayu. Begitu juga budaya Cina di Malaysia.

Bagi masyarakat Cina, wang hantaran yang juga dikenali sebagai mas kahwin, diberikan pihak pengantin lelaki kepada pihak pengantin perempuan sebagai tanda membalas jasa ibu bapa pengantin perempuan membesarkan bakal isteri. Semakin tinggi martabat dan kedudukan pengantin, biasanya semakin besarlah nilai mas kahwin.

Maka kita lihat persamaan di antara budaya-budaya yang berbeza apabila menyentuh perihal hantaran kahwin. Apakah “inflasi” wang hantaran akan berterusan tanpa noktah? Sebenarnya, Islam telah memberikan panduan yang jelas.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya di antara kebaikan seorang wanita ialah mudah lamarannya, mudah mas kahwinnya, dan mudah rahimnya.” (Riwayat Imam Ahmad).

Mudah di sini bermaksud tidak memberatkan mana-mana pihak terutamanya pihak lelaki yang perlu memberikan wang hantaran. Ia bersifat relatif menurut latar belakang dan kedudukan ekonomi masing-masing. Jika mampu memberikan hantaran yang tinggi, Alhamdulillah.

Masalahnya, ada yang tidak mampu tetapi dek keinginan untuk mengahwini pilihan hati, sanggup meminjam duit dari bank, atau lebih parah lagi dari ah long. Ramai juga yang terpaksa bertunang lama kerana perlu mengumpul wang. Paling malang, bayaran pinjaman belum habis bayar, mereka sudah bercerai.

Firman ALLAH SWT bermaksud, “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) daripada kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, ALLAH akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana ALLAH Maha Luas, lagi Maha Mengetahui.” (Surah An-Nur: 32)

Dalam sukan seperti bola sepak, hantaran tepat amat penting. Begitu jugalah halnya untuk perkahwinan; hantaran perlulah tepat agar tidak terlalu rendah sehingga tidak mencerminkan kasih sayang seorang suami kepada isteri, atau terlalu tinggi sehingga menyusahkan pihak pengantin lelaki. Meminjam kata-kata seorang bijak pandai, permudahkanlah tetapi jangan ambil mudah. Juga, biasakan yang betul, betulkan yang biasa.


* Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan