DALAM artikel saya yang terdahulu, saya ada berkongsi tentang sahabat yang menggunakan istilah 'mencinakan' Islam dalam penulisan beliau.

Terbaru, sahabat yang lain pula menyentuh tentang pencinaan dalam masyarakat Cina Muslim, sesuatu yang kononnya diperjuangkan oleh satu kelompok Cina Muslim. Beliau mengemukakan takrifan Melayu yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mengiakan konsep masuk Melayu.

Bagaimanapun, beliau berpendapat adalah salah untuk mengkhususkan perspektif Islam di Malaysia hanya dari sudut kemelayuan semata-mata kerana penganut Islam di Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum. Beliau berkongsi data laporan Banci Penduduk dan Perumahan 2014 yang menunjukkan bahawa 8.4% (2.436 juta) daripada penduduk Islam Malaysia adalah bukan Melayu.

Perlu disedari bahawa salah satu faktor yang menyebabkan persepsi masuk Islam sebagai masuk Melayu masih tebal dalam kalangan masyarakat Malaysia bukan Islam adalah kerana kebanyakan mereka yang memeluk Islam terus meninggalkan budaya lama walaupun tidak bercanggah dengan syariat. Seolah-olah budaya asal tidak Islamik langsung. Atas sebab inilah gerakan Cina Muslim menggalakkan masyarakat Cina yang memeluk Islam untuk mengekalkan identiti kecinaan mereka bagi membetulkan tanggapan ini.

Mereka disarankan mengekalkan identiti, jadi tidak timbul atau wujud istilah 'mencinakan' mereka kerana mereka sememangnya Cina dan antara langkah yang boleh diambil adalah dengan mengekalkan nama asal, atau menambah nama Islam mendahului nama asal, sebagaimana yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan 1991.

Sesungguhnya memeluk agama Islam tidak sedikit pun mengurangkan 'kecinaan' seseorang sebagaimana mengekalkan 'kecinaan' tidak mengurangkan keislamannya. Terbaru, isu penamaan anak tidak sah taraf yang telah di'bin’ atau di'binti’kan dengan Abdullah telah menimbulkan polemik. Pada Khamis, 27 Julai yang lalu, mahkamah rayuan telah memutuskan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara boleh membenarkan permohonan anak tidak sah taraf untuk di'bin’ atau di'binti’kan bapa kandungnya.  

Kes melibatkan seorang kanak-kanak berusia 7 tahun yang dilahirkan 5 bulan 24 hari selepas ibu bapanya bernikah. Saya bukannya ingin memanjangkan lagi isu ini kerana Bayan Linnas siri ke-106 oleh Mufti Wilayah Persekutuan sudah begitu jelas.

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang bersidang pada 31 Julai 2017 telah memutuskan bahawa anak yang tidak sah taraf tidak boleh di'bin’ atau di'binti’kan kepada ayah biologinya, seperti mana yang diputuskan oleh jumhur ulama. Sebaliknya, anak tersebut hendaklah dinasabkan kepada Abdullah atau kepada nama-nama ALLAH yang mulia.

Cuma saya amat berharap agar mereka yang baru memeluk Islam tidak dipaksa untuk menggunakan nama 'bin/binti Abdullah’ juga. Ia bukan sahaja kerana ingin mengekalkan identiti tetapi demi memelihara nasab juga.

Saya mempunyai beberapa sahabat yang seluruh keluarga mereka memeluk Islam tetapi bukan serentak. Pada mulanya hanya suami yang memeluk Islam. Beliau menggunakan nama Ah Chong bin Abdullah. Selepas beberapa bulan memujuk isterinya, akhirnya isteri beliau juga turut memeluk Islam dan menggunakan nama Amoi binti Abdullah.

Oleh kerana mereka menunjukkan akhlak yang sangat baik selepas memeluk Islam, akhirnya ibu Ah Chong turut mengucap dua kalimah syahadah dan menggunakan nama Ah Ma binti Abdullah dan diikuti suami beliau, Ah Kong bin Abdullah. Anak saudara Ah Chong juga tertarik dengan Islam dan nama beliau kini Ah Tan bin Abdullah.  

Sekarang Ah Chong mempunyai keluarga anak Abdullah yang cukup besar. Tidakkah ini juga akan mengelirukan?

Mengekalkan nama asal Cina Muslim adalah penting kerana ia melambangkan nama generasi dan nama diri sendiri. Juga boleh memilih nama Arab yang mempunyai makna yang baik sambil mengekalkan nama asal sepenuhnya.

Bagi mereka yang bukan Cina, mereka juga sebenarnya boleh di'bin’ atau di'binti’kan dengan bapa mereka sendiri. Sebagai contoh, Husna binti Balasundram, Muhammad bin Cham Roen, atau Mimi binti Edmond. Tidak perlu menggunakan bin/binti Abdullah. Kenapa harus dinasabkan kepada Abdullah sedangkan masing-masing tahu nama bapa sendiri?

Berbalik kepada dakwaan kononnya perlu ada usaha 'pencinaan' Cina Muslim, sebenarnya ia kurang tepat. Seperti biasa, saya suka menyarankan agar kita berusaha membina kefahaman, menyemai semangat kerjasama, berbanding mencari kelemahan dan berbalah sesama sendiri. Usaha seharusnya ditumpukan kepada perkara yang lebih utama serta masalah yang lebih meruncing dan memerlukan perhatian. Untuk itu, mari rapatkan saf!

*Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan