KITA sering mendengar pepatah orang tua-tua, hidup ini biarlah menjadi benih yang baik. Benih yang baik, jika jatuh ke laut, akan menjadi pulau. Ia bermaksud, orang yang berketurunan baik, ke mana pun dia pergi, akan sentiasa menjadi baik.

Benih yang baik bukan sahaja menjadi pulau sekiranya jatuh ke laut; jika dilontar ke langit, ia akan menjadi bintang dan jika jatuh ke daratan, menjadi pohon yang berbuah dan rendang.

Masih adakah benih yang baik pada zaman ini? Memang ada, cuma mungkin bilangannya kurang, mungkin kadang-kadang baru kita terjumpa, bak kata Nujum Pak Belalang dalam cerita lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Saya teringat seorang anak jati Kota Bharu yang lahir di sebuah rumah berdekatan Kopitiam Kita yang terkenal dengan roti titab itu. Ibunya berasal dari Kubang Pasu, Kota Bharu manakala bapanya berasal dari Pasir Mas. Bapa beliau merupakan tokoh pendidikan Islam dan pernah menjadi dekan Jabatan Syariah dan Usuluddin di Universiti Malaya sebelum menjawat jawatan Mufti Kelantan.

Ibu beliau pula merupakan bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lil-Banat dan amat menitikberatkan pendidikan Islam kepada golongan masyarakat. Kedua-dua bapa dan ibu beliau merupakan antara generasi awal graduan Melayu berkelulusan Mesir.

Anak jati Kota Bharu tersebut, tidak lain dan tidak bukan, ialah Dr Yusri Mohamad, yang dibesarkan dalam keluarga yang berlatar-belakangkan agama oleh Allahyar-ham Datuk Mohamad Che Wook dan Datin Nik Zahrah Nik Yahya. Beliau yang merupakan bekas pensyarah undang-undang di UIA kini merupakan Yang Dipertua, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Dr Yusri mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Ismail 1 sehingga darjah enam sebelum melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dari 1985 hingga 1989. Di MCKK, beliau mula mengasah bakat kepimpinan sebagai pemimpin pelbagai persatuan termasuk Kesatuan Pelajar Kolej Melayu dan sebagai ahli Lembaga Pengawas.

Dr Yusri melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Malaysia dan lulus cemerlang dalam bidang undang-undang (LLB) pada 1995 dan undang-undang (syariah) (LLB(S) pada  1996.

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian sarjana undang-undang (LLM) (Undang-Undang Islam) di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London, England.

Bidang pengkhususan akademik beliau ialah Undang-Undang Perlembagaan Malaysia, Teori Perundangan Islam dan Undang-Undang Perlembagaan Islam sebelum melanjutkan pengajian PhD di UIA dalam bidang Teori Per-undangan Islam.

Saya mula mengenali Dr Yusri ketika beliau menyandang jawatan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang keenam. Orangnya bersahaja, bukannya tokoh kontroversi sebagaimana presiden Abim yang terdahulu. Walau bagaimanapun, sudah tentu tiada manusia yang tiada kelemahan. Kalau tiada kelemahan, bukanlah manusia namanya.

Menyedari setiap manusia itu tidak dapat lari daripada kekurangan, masyarakat harus bijak memanfaatkan kekuatan yang ada pada tokoh-tokohnya. Cuba maksimumkan kebaikan yang ada pada mereka.

Letakkan mereka pada tempat yang mereka boleh berperanan sebanyak dan sebaik mungkin. Ini secara tidak langsung akan memberikan manfaat kepada masyarakat umum juga.

Saya sering terbaca tulisan-tulisan yang bukan sahaja tidak membina tetapi lebih kepada membunuh karakter tokoh-tokoh tertentu, semata-mata kerana tidak kena dengan selera politik penulis atau pihak tertentu.

Amat mudah mencari-cari dan membesar-besarkan kekurangan orang lain  sedangkan semua orang mempunyai potensi untuk menjadi lebih baik dan pergi lebih jauh lagi. Apa salahnya jika kita doakan yang terbaik untuk mereka?

“Bertakwalah kamu kepada ALLAH walau di mana pun kamu berada, dan iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan kejahatan.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Yang nyata, kehidupan kita di dunia ini hanyalah sementara. Semua orang tahu hakikat ini. Oleh itu, janganlah mensia-siakan masa mencari kesalahan atau kekurangan orang lain. Marilah kita sama-sama menjadi manusia yang bermanfaat kepada manusia yang lain.

Kepada Dr Yusri, semoga tuan diberi peluang untuk pergi lebih jauh lagi agar beroleh lebih banyak ruang untuk berjasa kepada masyarakat.