PERISTIWA hijrah Rasulullah dari Makkah ke Madinah adalah satu naratif sirah yang penting sejarah ketamadunan Islam. Peristiwa itu mengandungi ibrah atau pengajaran yang perlu dihayati dan diamalkan dalam kehidupan hari ini.

Ibrah tidak menuntut kita me­ngulang atau menuruti satu persatu naratif sirah yang dilakukan Rasulullah lebih seribu tahun yang lalu. Namun, ibrah menuntut kita menghayati dan memahami maksud yang wujud dalam konteks peristiwa tersebut agar menjadi panduan kepada kehidupan masa hadapan.

Saban tahun kita menyambut hari memperingati peristiwa hijrah. Sabun tahun juga, pelbagai syiar, slogan dan azam tahun baharu Islam kita kumandangkan. Apa yang pasti, tiada kesalahan meletakkan azam untuk misi kehidupan yang lebih baik sama ada pada awal tahun hijrah atau pun pada awal tahun Masihi sekalipun.

Apa yang penting, kita perlu terus bermuhasabah tentang kualiti keimanan dan ketakwaan kita kepada ALLAH SWT yang telah dicapai pada tahun-tahun yang lalu. Sebagai seorang Muslim, kita perlu mempunyai parameter agenda yang jelas tentang tahap kualiti kehidupan kita seharian sebagai seorang Islam. Tentang bagaimana kita menjaga kualiti ibadah solat seharian, pertambahan amalan sunat seperti solat duha, tahajud, puasa Isnin dan Khamis serta bagaimana kita memanfaatkan setiap Ramadan yang tiba saban tahun.

Lebih dari itu, parameter agenda kita juga perlu diperluaskan kepada hubungan kita dengan saudara se­islam dan sesama manusia. Kekuatan dan kualiti institusi keluarga yang kita miliki bersama isteri dan anak-anak, bahkan turut melampaui urusan kita dengan ibu bapa, rakan-rakan dan seluruh institusi yang kita dipertanggungjawabkan untuk menjaganya.

Jika semua ini diambil kira, pastinya kita dapat mengukur tahap keimanan dan ketakwaan kita kepada ALLAH SWT dan kita mampu meletakkan hala tuju kehidupan seharian ke arah yang perubahan yang lebih baik dari kehidupan masa lalu.

Hijrah adalah satu fitrah dalam kehidupan manusia, apa lagi manusia yang mengaku dirinya Muslim. Namun, sikap manusia yang penuh dengan kekurangan juga mende­dahkan diri kepada melakukan dosa. Oleh kerana itu, perubahan adalah agenda terbaik yang boleh menjadi pemacu untuk mencapai matlamat hijrah dalam kita.

Dalam kehidupan dunia yang serba mencabar pada hari ini, manusia terdedah secara meluas untuk melakukan kesilapan. Dunia yang bersifat fitnah ini penuh dengan dugaan. Yang benar diselubungi dengan misteri kecacatan. Yang tidak benar menyalahkan oleh lain untuk sentiasa dilihat benar pada kaca mata khalayak yang memerhati. Akhirnya semua menjadi tidak menentu, fitnah berlarutan dan kehidupan dihimpit kebosanan lantaran tidak dapat lagi dipastikan yang mana benar dan yang mana salah.

Menanggapi kehidupan hari ini, manusia khususnya umat Islam perlu meletakkan asas perubahan sebagai prasyarat utama untuk menjadi masyarakat yang berhijrah. Tidak kira organisasi apa sekali pun yang didukung, agenda perubahan perlu mendasari setiap tindakan kita. Dalam konteks organisasi, tadbir urus yang baik, keikhlasan, jati diri dan semangat perjuangan perlu menjadi teras utama.

Tinggalkanlah budaya lama yang berasaskan kebendaan, bekerja kerana balasan dan bodek kerana semua nilai ini yang membawa kepada kejatuhan. Sebaliknya jika ­ingin bangkit, kita perlu berubah ke arah yang lebih baik dan mempamerkan keyakinan bahawa kita bukan sekadar berjaya dilihat berubah tetapi sebenarnya kita benar-benar berubah. Moga ALLAH merahmati kita.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Ketua Pegerakan Pemuda Umno Malaysia Sinar Harian