TASEK GELUGOR - Kerajaan perlu mengadakan penerangan yang lebih jelas mengenai fahaman Syiah terutama sejarah dan matlamat penubuhannya supaya masyarakat faham mengapa ajaran itu mesti ditentang habis-habisan. 
   
Menegaskan demikian anggota Parlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahaya berkata beliau percaya masih ramai yang tidak sedar tentang bahaya fahaman tersebut kepada masyarakat Islam di negara ini dan seluruh dunia.
   
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan zakat perniagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) kepada 300 penerima yang terdiri daripada ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lahar Bubu di sini, hari ini.
   
Setiap anggota PPK itu yang rata-ratanya terdiri daripada warga emas menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM150 sebagai bantuan untuk menyambut Aidilfitri. 
 
Shabudin mendakwa fahaman Syiah di negara ini dikesan telah berkembang menggunakan kaedah baru bagi menarik lebih ramai pengikutnya.
   
"Dulu fahaman Syiah dikesan banyak berkembang menerusi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sehingga menyebabkan ramai kakitangan dan pelajar terjebak dengan fahaman itu," katanya.
   
Kini penyebar fahaman itu bergerak menerusi parti politik dengan menjadikan pemimpin parti berkenaan sebagai penggerak utama, kata beliau. - Bernama