KEPUTUSAN kes Deepa melawan Muhammad Izwan oleh Mahkamah Persekutuan Rabu lepas memberi impak yang besar terhadap perundangan Islam di Malaysia. Mahkamah Persekutuan dalam kes tersebut memutuskan mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa eksklusif dalam kes perceraian dan hak jagaan anak di mana perkahwinan dijalankan melalui undang-undang sivil walaupun salah seorang daripada pasangan tersebut memeluk Islam.

Mahkamah Persekutuan juga menegur mahkamah bawahannya supaya mengelak dari memberi perintah yang bertentangan sekiranya mahkamah syariah telah pun memberikan perintah. Namun dalam kes tersebut Mahkamah Persekutuan memberikan hak jagaan anak perempuan kepada Deepa (ibu yang tidak memeluk Islam) dan anak lelaki kepada Muhammad Izwan (bapa yang memeluk Islam) setelah mereka menemu duga anak-anak tersebut secara tertutup.

Pada pandangan penulis penghakiman di atas gagal mengambil kira hak mualaf di sisi undang-undang. Ini adalah disebabkan mualaf tidak diberikan hak untuk memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan menurut Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Seksyen 51 tersebut hanya memberikan hak kepada orang yang tidak memeluk Islam memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan tersebut. Ini bermakna sekiranya orang yang tidak memeluk Islam itu tidak berbuat apa-apa perkahwinan tersebut tidak boleh dibubarkan.

Orang bukan Islam pula terhalang dari membuat apa-apa permohonan di mahkamah syariah kerana mahkamah syariah hanya berbidang kuasa terhadap orang Islam sahaja. Orang bukan Islam tidak tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah syariah.

Penghakiman Rabu lalu menimbulkan ketidakpuasan hati masyarakat Islam arus perdana. Ini adalah disebabkan mahkamah sivil yang tidak terlatih  dalam jurisprudens Islam sudah pasti tidak akan dapat mengaplikasi undang-undang syariah untuk mualaf. Sebagai orang Islam mualaf mempunyai hak yang sama dengan orang Islam yang lain. Undang-undang diri yang dijamin Perlembagaan Persekutuan bagi orang Islam adalah undang-undang syariah.

Apatah lagi sudah amat jelas undang-undang sivil tersebut tidak terpakai kepada orang Islam. Bagaimana pula orang Islam tersebut boleh membuat apa-apa permohonan di mahkamah sivil di mana hak beliau tidak diberikan di sana. Selalu ditohmah mualaf memeluk Islam hanya ingin melarikan diri dari tanggungjawab sivilnya, namun tiada pembuktian nyata diberikan membuktikan mualaf ini ingin lari dari tanggungjawabnya.

Sering kali dibangkitkan hak orang yang tidak memeluk Islam telah dinafikan, malah orang bukan Islam tersebut dizalimi. Namun hampir tiada yang mengemukakan fakta bahawa orang yang memeluk Islam atau mualaf ini langsung tidak diiktiraf haknya di sisi undang-undang sivil untuk membubar perkahwinannya. Di manakah keadilan bagi mualaf ini?

Apa pun jua bagi menyelesaikan kemelut ini penulis mencadangkan agar suatu akta baharu digubal bagi membolehkan suatu tribunal ditubuhkan bagi membicarakan kes-kes pasangan bukan Islam yang mana salah seorang daripadanya memeluk Islam. Dicadangkan tribunal tersebut dibentuk dan dianggotai oleh Hakim Mahkamah Sivil dan Hakim Mahkamah Syariah di bawah seliaan Majlis Raja-Raja. Pengerusi kepada tribunal ini boleh dilantik oleh Majlis Raja-Raja.

Dengan cara ini pandangan kedua-dua undang-undang sivil dan syariah diambil kira dan ia akan meredakan emosi dan prasangka kedua belah pihak.

Malahan tribunal yang membicarakan isu kekeluargaan ini akan lebih tidak formal dan prosidingnya dibuat tidak seperti mahkamah yang terlalu terikat dengan pelbagai prosedur.


* Datuk Zainul Rizal  Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia