Konsekuensi, kesan PRU13
INILAH antara konsekuensi, kesan atau ekoran keputusan PRU13. Keputusannya diakui berwibawa, boleh dipercayai dan telus oleh tiga kumpulan pemantau - Pusat Kajian Polisi Awam (CPPS) yang diketuai Tan Sri Ramon Navaratnam, pemikir bebas; Institut Hubungan Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) dipimpin oleh Wan Saiful Wan Jan, ahli Pas tetapi bersikap neutral, yang benar benarlah dan yang salah salahlah; dan Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) CEOnya Tan Sri Michele Yeoh, ahli Gerakan tetapi seperti Wan Saiful independent. Ketiga-tiganya mengesahkan keputusan PRU13 bisa dipercayai, tiada bukti berlaku penipuan dan kesilapan (besar) di pusat pengundian. Memang sukar mendapat proses yang 100% sempurna mengikut Navaratnam. Wan Saiful menerimanya dengan minda terbuka, puas hati cara pengundian dijalankan. Tegasnya, "saya terima keputusan kalau pun ada kesilapan (kecil) yang tidak memberi kesan kepada resultsnya." Yeoh pula menegaskan "the results were indeed credible - keputusannya boleh dipercayai, amat kredibel." Sekecil operasi pemilihan pucuk kepimpinan sesetengah pasti politik pun ada kesilapan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), saya percaya, telah menjalankan tugasnya sebaik mungkin dan menerima kritikan konstruktif demi kelancaran dan kebaikan PRU14 dan pilihan raya kecil sebelum itu. Apa pun SPR adalah sebuah badan yang diperakui credible dan cekap oleh badan bebas, agensi antarabangsa dan kerajaan asing semenjak SPR mulai mengurus pilihan raya di Malaysia bermula 1959.