SUBANG JAYA – Polis menumpaskan sindiket wang palsu selepas menahan empat lelaki dalam dua serbuan di Kelana Jaya, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, suspek berusia 24 hingga 30 tahun ditahan di sebuah  restoran dan kondominium sekitar Kelana Jaya.

"Penahanan dibuat  anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang mangsa pada 23 Julai lalu.

"Dalam kes itu mangsa dakwa terima wang  palsu ketika urus niaga pembelian sebuah Iphone X 64 GB,"katanya.

Mohammad Azlin berkata, susulan penahanan semua suspek, polis merampas enam keping wang kertas RM100 disyaki palsu.

Turut dirampas satu unit komputer riba, satu unit mesin pencetak, lima buah telefon bimbit pelbagai

jenama dan beberapa peralatan lain yang dipercayai untuk memproses dan mencetak wang palsu.

Kesemua suspek direman hingga Sabtu ini, kes disiasat di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan.